Biarlah munasabah, kenapa buat acara macam tin sardin? - Utusan Malaysia

Biarlah munasabah, kenapa buat acara macam tin sardin?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK pandemik berakhir, jumlah orang ke konsert meningkat tiga kali ganda. Tahun lalu sahaja, terdapat 408 konsert dianjurkan di Malaysia sekali gus menyumbang RM553 juta kepada ekonomi negara.

Gara-gara angka itu juga pemerintah mula buka mata, mengukuhkan keyakinan untuk mewujudkan Insentif Konsert dan Acara di Malaysia yang membolehkan mana-mana penganjur acara skala besar membuat permohonan rebat sehingga 30 peratus.

Angka-angka dalam data yang dikongsikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching jelas itu menunjukkan bahawa sudah terbina kepercayaan dan keterujaan  orang-orang untuk menghadiri acara muzik. Mereka tidak berat hati menyisakan sedikit wang untuk membeli tiket, kalau perlu, mereka sanggup bergadang ‘berperang tiket’, menyiapkan busana dan hafal segala lagu artis kesayangan sebelum ke acara.

Tapi, adakah kualiti penganjuran, pengurusan acara dan konsert di negara kita cukup setara dengan semua keterujaan itu? Atau semakin tiada yang tajam bersuara, semakin banyak pula acara mercup membabi buta.

Oleh sebab mereka tahu tiket tetap akan jalan apabila tepek nama artis popular di poster, wajarkah acara berlangsung ‘asal ada’ ‘asal boleh’ tak sepadan langsung dengan jumlah tiket yang dikenakan kepada pembeli?

Tidak perlu meminjam pengalaman orang lain, baru-baru ini, penulis menghadiri sebuah acara muzik di Vox Live KL. Baru lima minit persembahan pembukaan berlangsung (belum artis utama), penulis terpinga-pinga di depan pintu apabila pengawal berkata ‘sudah padat sangat cik, tak muat masuk’.

Pengawal itu semacam memulangkan keputusan kepada saya sama ada redah sahaja masuk atau boleh berputus asa. Saya kemudian mengerling ‘wristband’ oren terkenang RM158 yang saya laburkan untuk membeli sekeping tiket acara yang sepatutnya intim ini.

Di hadapan saya ada empat orang pembeli tiket yang cuba nasib berhimpit-himpit masuk, saya mengekori usaha kerasnya. Kami berdiri kaku, itupun sudah berlaga siku. Apalagi mahu goyang badan atau lompat-lompat. Pendek kata, tidak selesa rasanya berada di situ. Dalam keadaan yang sudah sedia ada sesak, pengumuman dibuat meminta penonton berhimpit lagi ke hadapan kerana masih ada orang diluar yang mahu disumbatkan.

Artis utama tiba di panggung, tapi sayang, lubang hidungnya pun saya tidak nampak kerana terlalu ramai orang menghalang pandangan. Penganjur pula tidak sediakan skrin tambahan, jadi sepanjang acara itu saya menonton persembahan penyanyi (yang saya bayar tiketnya) menerusi telefon pengunjung lain yang lebih canggih, itupun selepas enam kali ‘zoom’.

Ketika lagu rancak berkumandang, seorang pengunjung di depan saya lompat-lompat, tapi kerana keadaan begitu sesak, dia berkali-kali terpijak kasut dan berlaga tubuh dengan seorang gadis di sebelahnya. Gadis itu berkerut dahi jelas tak selesa juga tidak berasa selamat. Apapun, situasi seperti itu tidak akan terjadi sekiranya ruang acara cukup munasabah menampung pengunjung yang ada.

Saya fikir, para penganjur belajarlah lagi bagaimana mengelola sebuah acara. Kalau anda rasa berpengalaman selama ini sudah cukup, anda mungkin salah. Dalami lagi cara urus kesesakan dan pengiraan had tiket yang perlu dijual untuk lokasi acara sekecil itu. Janganlah fikir perut sahaja, diberi sejengkal hendak sehasta, diberi sehasta hendak sedepa.

Penganjur perlu sujud syukur sahajalah kerana dalam kepadatan malam tersebut, mujur tiada rempuhan, pengsan atau insiden tidak diingini seperti kebakaran di pentas, kerana saya juga ragu apakah wujud pelan keselamatan dan evakuasi yang disediakan untuk pengunjung dari tingkat 50 itu? Kerana menurut pengawal yang saya temui, hanya ada satu pintu sahaja dibuka.

Kita tidak perlukan tragedi seperti di acara muzik Astroworld, Houston, Texas, ketika persembahan Travis Scott berlaku di Malaysia. 10 orang meninggal dunia akibat rempuhan gara-gara pengunjung terlalu padat.

Semuanya terjadi kerana pengurusan yang lemah sedangkan perancangan sepatutnya sudah dibuat berminggu lebih awal.

Semoga di masa hadapan lebih ramai penganjur acara akan lebih berfikir secara munasabah, bukan standard ‘tin sardin’ semata-mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN