KUNAK: Parti Warisan (Warisan) memberi jaminan bahawa mampu mentadbir Sabah dengan lebih baik sekiranya diberi peluang memerintah semula dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, rakyat hanya perlu memberikan tempoh lima tahun kepada Warisan untuk membuktikan kemampuan sebenar parti itu membawa kemajuan kepada Sabah.
“Bagi kita lima tahun. Jangan cerita saya jual ubat. Hajiji beri saya (tempoh) lima tahun, saya boleh buat lebih baik daripada awak (Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Inspirasi Bersama DSSA di sini, semalam.
Beliau berkata, tempoh pentadbiran kerajaan Sabah kini selama lebih lima tahun belum menunjukkan perubahan ketara kepada rakyat, khususnya dalam isu ekonomi, peluang pekerjaan dan keperluan asas seperti air dan tanah.
“Sudah lima tahun jadi kerajaan, tapi rakyat masih susah. Ada tempat tidak ada air, anak muda terpaksa merantau mencari kerja sampai ke luar negara. Warisan mahu ubah keadaan ini,” tegasnya.
Mohd. Shafie berkata, Warisan kini bersiap sedia sepenuhnya menghadapi pilihan raya dengan semangat baharu dan penyertaan ramai pemimpin tempatan termasuk daripada UMNO dan PKR.
“Mereka sertai Warisan bukan kerana imbuhan, tapi kerana mahu melihat Sabah bersatu dan maju,” katanya.
Katanya, Warisan bukan hanya parti pantai timur seperti digambarkan sesetengah pihak, sebaliknya mempunyai pengaruh di seluruh negeri termasuk kawasan pedalaman dan pantai barat Sabah.-UTUSAN










