Berbanding kosmetik, saya lebih seronok tengok cili – Julia Farhana - Utusan Malaysia

Berbanding kosmetik, saya lebih seronok tengok cili – Julia Farhana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapa sangka, di sebalik wajah jelita dan kerjaya seni yang sentiasa menjadi perhatian, Julia Farhana sebenarnya mempunyai ‘cinta rahsia’ yang tidak pernah dijangka peminat.

Ia bukan pada dunia kosmetik, bukan pada fesyen, tetapi terhadap penerokaan bidang perladangan dan agrotek.

Ya, ketika ramai selebriti memilih perniagaan yang sinonim dengan dunia wanita, Julia pula selesa menghabiskan masa di ladang, memantau ribuan pokok di bawah penjagaannya.

Bukan calang-calang, kerana kini pelakon dan pempengaruh itu sudah mengusahakan hampir 30 ekar tanaman agro di sebuah daerah di Pahang.

“Sebenarnya saya memang minat pertanian sejak remaja. Bila cuba tengok bisnes lain seperti baju atau produk kecantikan, saya tak rasa apa-apa. Tengok cili lagi saya rasa seronok,” ujarnya.

Kongsi Julia, bermula dengan tanaman cili kira-kira enam tahun lalu, dia mengakui perjalanan awalnya tidak mudah.

Daripada 6,000 pokok cili yang ditanam, separuh daripadanya mati sehingga menyebabkan kerugian hampir RM60,000.

“Orang lain mula dengan 500 pokok, saya terus 6,000 pokok. Memang terkejut bila banyak yang mati. Itu berlaku lima tahun lalu. Permulaannya memang tidak baik. Jadi saya fikir, saya perlu mencari guru atau sifu.

“Saya bertemu rakan kongsi saya sekarang yang dulunya merupakan guru pertanian saya. Saya mengadu tentang kerugian itu dan ketakutan saya untuk teruskan. Namun, saya juga tidak mahu berhenti kerana semuanya sudah tersedia, tapak, peralatan dan pekerja.

“Dia kemudian membimbing saya, dan kami mula menanam timun. Masalah utama saya ketika itu ialah serangan virus tanaman, seakan-akan ‘Covid-19’ tetapi bagi pokok. Cili pula sangat sensitif. Banyak perkara berada di luar kawalan saya walaupun saya sudah lakukan yang terbaik. Faktor cuaca dan kos pula sangat mempengaruhi,”katanya.

Bagaimanapun, kata Julia, selepas dibimbing, dia kembali berani untuk meneruskan segalanya mengikut perancangan.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini, tanaman cili dan timun saya membuahkan hasil. Pernah cili terlalu banyak sehingga tidak muat dalam peti simpanan di ladang.

“Apabila melihat hasil itu, mengambil gambar dan video untuk dijual, saya sampai menangis kerana rasa syukur. Akhirnya, berjaya juga,”katanya.

Dalam pada itu, meskipun sibuk dengan ladang, Julia mengakui dia masih aktif berlakon dan tidak bercadang berhenti walaupun suatu hari nanti sudah bergelar warga emas.

“Kalau boleh sampai umur 80 tahun pun saya nak berlakon. Saya suka berada di set. Suami saya juga sentiasa menyokong meskipun hanya pernah ke ladang sekali. Itu pun kerana terlalu panas.

“Tapi dia faham kerjaya saya dan kami saling menyokong. Bila sama-sama sibuk, kami akan cari masa untuk bercuti sekejap,”katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai persepsi bahawa selebriti mudah berjaya dalam apa sahaja perniagaan, Julia menafikan sekerasnya.

“Kalau saya jual tudung, saya sangat pasti, saya akan bankrup.

“Perniagaan memerlukan kemahiran, ilmu pengurusan dan strategi. Tak kira artis atau bukan. Kalau tak pandai urus, dapat RM5 juta pun boleh bankrup,”katanya.

Selain itu, menutup bicara, Julia juga kini sedang merancang membuka kedai pop-up pertamanya untuk menjual jus tanpa gula.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN