PETALING JAYA: Belanjawan 2026 menjadi titik permulaan penting kepada hala tuju Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, pemodenan peralatan perubatan, pendigitalan sistem serta pengukuhan agenda kesihatan awam dan pembiayaan yang mampan.
Keutamaan ini menjadi asas pengukuhan sistem kesihatan awam lebih moden, responsif dan berdaya tahan sekali gus memastikan rakyat bandar dan luar bandar mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh dan berkualiti.
Fokus utama dalam pelaksanaan Rolling Plan Pertama (RP1) RMK-13 juga tertumpu kepada transformasi menyeluruh ekosistem kesihatan negara, merangkumi aspek pencegahan, rawatan, pemulihan serta kesejahteraan komuniti.
Kata KKM dalam satu kenyataan, tumpuan terhadap pembangunan fizikal kekal menjadi keutamaan termasuk pembinaan hospital baharu, naik taraf fasiliti sedia ada serta memperkukuh perkhidmatan kesihatan luar bandar.
“Kita mahu rakyat merasai keselesaan, kemudahan dan kecekapan dalam setiap peringkat perkhidmatan kesihatan,” ujarnya.
Bagi Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM46.5 bilion kepada KKM, peruntukan kedua terbesar antara semua kementerian lain dan mewakili 11.04% daripada keseluruhan Belanjawan Negara sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan terhadap usaha memperkukuh perkhidmatan kesihatan awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 berkata, sektor kesihatan negara memerlukan dasar baharu yang menyeluruh dan bersepadu bagi menangani kekangan tenaga kerja serta peningkatan permintaan terhadap rawatan awam.
Peruntukan itu bukan sahaja untuk menaik taraf fasiliti dan memperkukuh tenaga kerja, tetapi turut meliputi peluasan program saringan kesihatan komuniti, peningkatan literasi kesihatan dan transformasi digital sistem kesihatan negara.
“Peningkatan kapasiti fasiliti perlu dilaksanakan seiring keperluan semasa. Kita mahu hospital dan klinik kesihatan dibina bukan sekadar untuk merawat, tetapi menjadi pusat rujukan yang efisien serta kondusif kepada pesakit dan petugas,” jelas KKM.
Pada masa sama, KKM juga sedang menambah baik peruntukan bagi projek naik taraf tertakluk kepada kelulusan agensi pusat seperti Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.
“Perancangan pembangunan fasiliti dibuat berdasarkan keperluan sebenar di lapangan, bukan hanya angka atas kertas. Kita mahu setiap sen peruntukan memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.
Selain itu, KKM memberi keutamaan kepada isu kekurangan tenaga kerja kesihatan seperti melaksanakan lantikan tetap seramai 935 jururawat Gred U5 untuk tahun 2026, serta meningkatkan pengambilan pelatih Diploma Kejururawatan daripada 1,000 kepada 3,000 pelatih setahun mulai 2025.
“Program Diploma Kejururawatan di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) juga digalakkan semula selepas tamat moratorium bagi memastikan bekalan tenaga kerja mencukupi,” katanya.
KKM turut memperkukuh laluan kepakaran melalui pindaan Akta Perubatan 1971 yang telah dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun ini, selain menambah perjawatan tetap untuk lebih 4,500 pegawai perubatan pada tahun hadapan, di samping 4,352 lantikan tetap yang akan disempurnakan pada akhir Oktober 2025.
Pada masa sama, pendigitalan sistem kesihatan menjadi tumpuan penting dengan pelaksanaan rekod perubatan elektronik di 149 hospital dan lebih 3,000 klinik kesihatan seluruh negara.
Sebanyak RM31.3 juta juga telah diperuntukkan untuk peluasan pelaksanaan Cloud-based Clinic Management System (CCMS) di klinik-klinik kesihatan seluruh negara.
“Pendigitalan ini membolehkan perkongsian maklumat kesihatan dilaksanakan dengan lebih cepat, selamat dan efisien antara hospital serta klinik, meningkatkan kecekapan rawatan pesakit serta mengurangkan waktu menunggu untuk pesakit,” katanya.
Belanjawan 2026 menandakan fasa penting ke arah sistem kesihatan yang lestari, berpaksikan pencegahan dan kesejahteraan rakyat, selaras aspirasi Malaysia MADANI dan visi RMK-13 untuk memastikan kesihatan untuk semua. – UTUSAN










