MACHANG: Dua bekas pengikut ajaran sesat Ayah Pin antara 13 individu yang ditahan selepas berhimpun di depan Istana Negeri, Kubang Kerian di sini, kelmarin.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kedua-dua lelaki itu ADALAH antara lima individu yang dikesan positif dadah selepas ujian saringan awal air kencing dijalankan.
Katanya, semua individu yang ditahan selepas berhimpun di depan Istana Negeri itu juga berkemungkinan mempunyai kaitan dengan ajaran sesat.
“Kita tidak menolak kemungkinan mereka ini mempunyai kaitan dengan ajaran sesat apabila terdapat dua daripadanya bekas pengikut Ayah Pin.
“Siasatan lanjut turut mendapati mereka berhimpun di depan istana untuk menyerahkan barangan lama kepada Sultan Muhammad VI (Sultan yang akan datang datang), bukannya Sultan sekarang (Sultan Muhammad V),” ketika ditemui pemberita selepas Program Town Hall Discussion Ketua Polis Kelantan 2025: Waspada Jenayah Dadah dan Jenayah Siber di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Machang di sini, hari ini.
Mohd. Yusoff berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut termasuk peranan penduduk Orang Asli yang menyertai himpunan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958.
Terdahulu, seramai 13 individu termasuk seorang wanita dan tiga Orang Asli dilaporkan antara ditahan reman empat hari selepas dipercayai menyertai perhimpunan di depan Istana Negeri, Kubang Kerian. – UTUSAN










