JAKARTA: Penyanyi dan komposer, Baskara Putra, yang lebih dikenali melalui projek solonya, Hindia, muncul sebagai penerima trofi terbanyak pada Anugerah Muzik Indonesia (AMI) 2025 yang berlangsung pada Rabu.
Baskara merangkul empat anugerah menerusi album Doves ’25 on Blank Canvas, selain satu lagi kemenangan bersama band Feast melalui album Membangun & Menghancurkan.
Lebih membanggakan, Doves ’25 on Blank Canvas turut diumumkan sebagai Album Terbaik Terbaik AMI 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan Baskara sebagai antara figura muzik paling berpengaruh di Indonesia ketika ini.
Mengikut rapat kejayaan Baskara ialah karya popular Garam & Madu (Sakit Dadaku) nyanyian Tenxi, Jemsii dan Naykilla, yang membawa pulang empat trofi, termasuk kategori utama Karya Produksi Terbaik Terbaik.
Sementara itu, penyanyi runut bunyi filem Jumbo, Prince Poetiray, turut mencuri perhatian apabila menggondol tiga anugerah, termasuk kategori Pendatang Lagu Terbaik Terbaik menerusi lagu Selalu Ada di Nadimu.
AMI 2025 turut menobatkan tiga tokoh seni sebagai penerima Lifetime Achievement Award, masing-masing Jopie Item (Performer), Jan Djuhana (Producer), dan James F. Sundah (Composer), sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar mereka dalam industri muzik Indonesia. -UTUSAN










