PETALING JAYA: Bank Rakyat menyalurkan hampir RM200,000 melalui Program Santuni MADANI dan Sekolah Angkat MADANI memanfaatkan lebih 400 penduduk Kampung Kong Kong Laut, Masai.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd. Shariff berkata, program itu bukan sekadar penyampaian sumbangan tetapi usaha memperkukuh daya sosioekonomi masyarakat luar bandar melalui literasi kewangan, keusahawanan dan ekosistem pembayaran digital.
“Program ini bukan sekadar wadah khidmat bakti untuk kami memberi semula kepada masyarakat, tetapi satu usaha bersepadu kami untuk memperkukuh daya tahan masyarakat desa agar terus berdaya saing dan makmur,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Program Digital Desa yang memperluas penggunaan perbankan tanpa tunai, termasuk Hari Bersama Peniaga yang memberi manfaat kepada lebih 90 usahawan melalui penggunaan Akaun Semasa-i Elektronik serta aplikasi iMerchant Rakyat dan iRakyat.
“Melalui Program Sekolah Tanpa Tunai, lebih 1,000 pelajar menerima kemudahan ekosistem pembayaran tanpa tunai dan Kad Debit-i pelajar khusus untuk perbelanjaan di koperasi dan kantin sekolah,” jelasnya.
Antara sumbangan yang disampaikan termasuk bantuan pendidikan RM3,600 kepada 12 mahasiswa, sumbangan RM30,000 kepada mahasiswa asnaf Politeknik Ibrahim Sultan serta RM25,000 kepada SK Kong Kong Laut bagi projek naik taraf fasiliti sekolah.
“Bantuan keusahawanan turut disampaikan melalui inisiatif Bank Rakyat UNIpreneur bagi menyokong pembangunan usahawan mahasiswa asnaf dan sumbangan iTekad RAKYATpreneur B40 kepada tiga usahawan berjumlah RM15,000,” katanya.
Selain itu, 15 unit kerusi roda disumbangkan kepada Hospital Pasir Gudang manakala 52 penduduk menerima bantuan makanan asas dan sumbangan pengimarahan masjid bernilai RM10,000.
Sejak Ogos lalu, Bank Rakyat melaksanakan pelbagai aktiviti bersama komuniti Kampung Kong Kong Laut termasuk program literasi digital, kewangan dan aktiviti kemasyarakatan.-UTUSAN










