KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini dijangka memberi tumpuan kepada status terkini situasi banjir di setiap negeri serta kesiapsiagaan kerajaan menghadapi musim tengkujuh dan langkah Tenaga Nasional berhad (TNB) mengekang pembukaan akaun tanpa pengetahuan oleh orang dalam untuk tujuan kecurian elektrik.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, Nurul Amin Hamid (PN–Padang Terap) mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri mengenai status terkini situasi banjir di setiap negeri serta kesiapsiagaan kerajaan menghadapi musim tengkujuh.
Beliau juga meminta penjelasan mengenai usaha segera membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas di Hadyai, Thailand susulan banjir besar yang melanda kawasan itu.
Lim Lip Eng (PH-Kepong) pula meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan langkah segera TNB serta pihak berkuasa bagi mengekang pembukaan akaun elektrik tanpa pengetahuan pemilik bagi tujuan kecurian elektrik.
Beliau turut meminta jaminan bahawa pemilik tidak akan dipertanggungjawabkan terhadap bil atau hutang yang terhasil akibat aktiviti tersebut pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Bagi sesi soal jawab lisan, Mordi Bimol (PH-Mas Gading) meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada kerajaan bercadang menambah atau memperbaharui dana skim mySalam memandangkan sumbangan RM2 bilion yang diterima pada 2019 semakin menyusut.
Soalan turut menyentuh pelan jangka panjang bagi menjamin kesinambungan perlindungan kesihatan B40, termasuk integrasi bersama Skim Perubatan MADANI.
Pada sesi sama, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (PN-Rantau Panjang) meminta Menteri Pendidikan menjelaskan peranan kementerian dalam memastikan akses pendidikan prasekolah yang berkualiti, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat akan meneruskan sambungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di peringkat jawatankuasa.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari dan dijadualkan berakhir pada 4 Disember ini. – UTUSAN










