Banjir Hat Yai masih teruk, warga emas Malaysia kehabisan stok ubat

Banjir Hat Yai masih teruk, warga emas Malaysia kehabisan stok ubat

KEADAAN terkini banjir di bandar Hat Yai yang dirakam rakyat Malaysia di sekitar Paradise Hotel di Songkhla, Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Keadaan banjir di Hat Yai, Thailand masih belum pulih sekali gus menyukarkan usaha menyelamat rakyat Malaysia yang terperangkap di wilayah itu.

Hujan berterusan sejak petang semalam juga menyebabkan paras air lebih tinggi berbanding sejak banjir mula melanda, Jumaat lalu.
Pengurus Besar Cuti-Cuti Langkawi Sdn. Bhd., Dr. Baharin Baharom yang bersama 10 kakitangan syarikat itu berkata, mereka masih tidak dapat bergerak dari hotel kerana paras air yang masih tinggi.

“Usaha menyelamat boleh dikatakan agak perlahan, malah belum nampak bot agensi penyelamat tempatan untuk membantu mangsa termasuk kami di Paradise Hotel ini.

“Di hotel saya menginap ini juga terdapat kira-kira 40 warga emas dari Kelab Warga Emas Pontian, Johor yang turut terperangkap dan mereka pun tidak tahu hendak buat apa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharin berkata, keadaan lebih membimbangkan selepas bekalan elektrik terputus sejak malam tadi manakala sebahagian besar kawasan sekitar hotel sudah ditenggelami air.

Sementara itu, wakil Kelab Warga Emas Pontian, Saryati Suwarno, 54, berkata, beberapa ahli rombongan yang menghidap penyakit kronik kini kehabisan stok ubat seperti darah tinggi dan ubat jantung.

“Tiada usaha daripada pihak kedutaan Malaysia atau kerajaan Thailand setakat ini. Kami dimaklumkan proses pemindahan mungkin mengambil masa.

“Ketiadaan elektrik dan liputan telefon menyukarkan komunikasi dengan pihak luar, termasuk untuk mendapatkan bantuan kecemasan,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Baharom Darkon, 63, merayu agar pihak kedutaan Malaysia membantu mempercepatkan proses membawa keluar warga emas yang semakin cemas menunggu bantuan.

“Kami amat perlukan bantuan segera dan terima kasih juga kepada pihak hotel yang beri penginapan dan makanan. Mereka juga sediakan bekalan elektrik sekitar 20 minit menerusi generator untuk kami mengecas telefon,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN