ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, situasi banjir di Kedah ketika ini terkawal dan tidak seburuk tahun lepas ekoran air surut dengan cepat.
Muhammad Sanusi memberitahu, beberapa kawasan di negeri ini menunjukkan perkembangan positif susulan hujan tidak terlalu lebat di kawasan hulu.
“Kalau hujan tak turun di hulu, InsyaAllah banjir ini akan semakin surut. Boleh baliklah. Kita berharap tidak berlaku macam tahun lepas tiga gelombang itu.
“Banjir ini (tidak teruk) sebab dibantu dengan keadaan air laut tak pasang. Laut tak pasang besar macam tahun lepas yang sama-sama dengan air hujan. Kita harap cuaca bertambah baik dua tiga hari ini,” katanya ditemui selepas menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perdana di sini, hari ini.
Beliau yang ditemani isteri keduanya, Che Intan Subri meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni mangsa di PPS berkenaan yang menempatkan kira-kira 484 mangsa dari daerah ini.
Muhammad Sanusi turut memuji koordinasi pengurusan bencana yang melibatkan agensi Kerajaan Pusat dan negeri seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berganding bahu terutama menyelamatkan dan menghulurkan bantuan kepada mangsa.
“Alhamdulillah semua berjalan macam biasa tak ada isu apa tidak ada apa yang menyukarkan kita semua air sudah semakin surut. Kita harap JKM teruskan kerajinan. Alhamdulillah mereka pun kerja pulun, terima kasih lah semua agensi yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bantuan khas untuk mangsa banjir berkenaan belum dibincang atau dibawa ke mesyuarat kerajaan negeri.
“Belum lagi dibincangkan, dari NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) adalah (bantuan), (kerajaan negeri) belum lagi,” ujarnya.
Setakat ini sebanyak 4,543 mangsa daripada 1,454 keluarga di tiga daerah terjejas iaitu Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena yang berteduh di 22 PPS. – UTUSAN










