Banjir: 13 pusat peperiksaan alternatif disedia di Terengganu

Banjir: 13 pusat peperiksaan alternatif disedia di Terengganu

CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin beratur masuk ke dewan sebelum menduduki peperiksaan bertulis Kertas Bahasa Melayu 1 di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 13 pusat peperiksaan disenaraikan sebagai lokasi alternatif yang diaktifkan serta-merta sekiranya berlaku banjir pada hari peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini.

Pengarah Pendidikan negeri, Kamsah@Kamal Mohamed berkata, antara pusat peperiksaan alternatif itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ajil, SMK Landas dan SMK Kuala Telemong di Hulu Terengganu.

Kata beliau, pihaknya mengenal pasti 33 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu berisiko terjejas akibat banjir sepanjang tempoh peperiksaan bertulis SPM yang bermula hari ini melibatkan 649 calon.

“Ia dinilai berdasarkan rekod lampau banjir tahun-tahun kebelakangan termasuk kedudukan berhampiran sungai, kawasan rendah dan  risiko laluan terputus,”  katanya ketika meninjau perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, di sini, hari ini.

Menurut Kamsah, pusat peperiksaan SPM yang dikenal pasti berisiko terjejas banjir adalah 12 buah di Setiu, Hulu Terengganu (enam buah), Kemaman (lima buah), Besut (empat buah), Dungun (tiga buah), Kuala Nerus (dua buah) dan Marang (sebuah).

“Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT)  menyediakan pelan kontingensi termasuk pemindahan calon ke pusat peperiksaan lain sekiranya lokasi asal tidak dapat beroperasi akibat banjir,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN