Kekurangan penglihatan tidak menghalang Jaya Durga, 25, untuk mengejar cita-cita menjadi guru demi membantu pelajar senasib dengannya memperoleh akses pendidikan yang sama.
Durga atau lebih mesra disapa Jaya baharu sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pendidikan di UNITAR International Universiti. Sejak kecil, beliau melalui proses pembelajaran dengan pelbagai cabaran, khususnya kerana bahan bacaan tidak disediakan dengan format mesra untuk pelajar cacat penglihatan.
“Ketika di sekolah rendah dan menengah, hampir semua bahan bercetak menggunakan tulisan biasa. Saya tidak dapat membacanya dengan mudah. Malah, kemudahan di makmal komputer juga tidak sesuai untuk pelajar seperti saya,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Anak kelahiran Klang itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Klang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Jawa.
Katanya, kesabaran serta dedikasi guru-gurunya menjadi pendorong utama untuk beliau memilih bidang pendidikan sebagai kerjaya masa hadapan.

“Guru-guru saya sangat sabar dan banyak membantu, mereka menjadi contoh terbaik buat saya. Oleh itu, saya mahu jadi seperti mereka dan bantu pelajar lain yang sedang menghadapi cabaran seperti saya suatu ketika dahulu,” katanya.
Durga turut menjadikan ibu bapanya sebagai sumber kekuatan, khususnya ketika mula menyesuaikan diri dengan pembelajaran dalam talian semasa di universiti. Ayahnya merupakan individu pertama yang membantu beliau memahami sistem portal pembelajaran pada semester pertama.
“Pada awalnya agak susah, namun selepas dua minggu, saya mula membiasakan diri. Kini saya lebih selesa belajar dalam talian,” katanya.
Sebagai seorang pelajar cacat penglihatan, beliau bergantung kepada teknologi sokongan seperti TalkBack, NVDA dan Voice Over untuk mengakses bahan kuliah. Namun, teknologi ini mempunyai batasan, terutamanya apabila berhadapan dengan bahan bergambar yang tiada teks sokongan.
“Walaupun ada teknologi bantu, pelajar seperti saya tetap perlukan sokongan daripada pensyarah dan rakan. Mujurlah saya mempunyai kawan baik, Rinisha, yang selalu membantu saya memahami isi kuliah,” katanya.
Kesusahan keluarga turut menjadi pendorong utama untuk beliau belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya disenaraikan dalam senarai Dekan. Menurutnya, kejayaan itu bukan sahaja untuk diri sendiri, malah sebagai tanda penghargaan buat kedua-dua ibu bapanya.

Kini sedang menamatkan pengajian, Durga menyasarkan untuk berkhidmat sebagai guru pendidikan khas dalam sektor awam. Baginya, golongan pelajar berkeperluan khas sering terpinggir akibat kekurangan akses kepada teknologi dan kemudahan pembelajaran yang inklusif.
“Saya mahu bantu mereka supaya tidak rasa terpinggir. Saya pernah melalui diskriminasi ketika Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), jadi saya faham perasaan mereka. Saya mahu membuktikan bahawa kita juga boleh berjaya,” katanya.
Pengalaman paling bermakna baginya adalah ketika menjalani latihan praktikal di sekolah lamanya, Sekolah Pendidikan Khas Kampung Jawa.
“Rasa terharu apabila kembali sebagai guru di tempat saya pernah belajar. Murid-murid menyambut saya dengan gembira. Apabila praktikal tamat, ramai yang sedih. Itu saat yang buat saya yakin, saya berada di landasan yang betul,” katanya.
Durga turut menitipkan pesanan kepada pelajar berkeperluan khas agar tidak mudah berputus asa.
“Jangan berhenti belajar hanya kerana kekurangan diri. Dengan sokongan keluarga dan usaha, kita boleh capai impian,” ujarnya
Beliau menegaskan bahawa setiap individu mempunyai kelebihan tersendiri dan tidak seharusnya menjadikan kekurangan sebagai penghalang untuk berjaya. Malah, katanya, kejayaan akan lebih bermakna apabila dicapai dengan semangat juang yang tinggi dan ketabahan diri. – UTUSAN










