KEMPEN Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bermain dengan isu kenegerian apabila ada pemimpin politik mendakwa negeri ini boleh hilang kelebihan jika memilih parti Semenanjung.
Naratif itu pula ditambah Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) dan tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang terus menjadi modal pilihan raya yang memasuki hari keempat apabila parti politik dan calon menggunakan kesempatan itu untuk memancing undi.
Di sebalik isu itu, sebaliknya mereka perlu melihat asas paling penting iaitu integriti, tadbir urus dan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat. Pengundi bandar khususnya cenderung bertanya sama ada calon yang bertanding benar-benar mampu melaksanakan janji dasar, bukan sekadar melaungkan slogan kenegerian semata-mata.
Justeru, persoalan lebih relevan untuk pengundi bukan sekadar parti mana, tetapi siapa yang mampu memimpin, bebas rasuah dan berkeupayaan mengurus negeri secara telus.
Selain integriti calon, pengundi juga semakin mengambil kira keberkesanan program ekonomi, kos sara hidup, akses pekerjaan, pembangunan infrastruktur, pendidikan dan kesihatan iaitu isu sebenar yang dirasai rakyat setiap hari.
Sekiranya isu kenegerian dimainkan tanpa penyelesaian konkrit terhadap masalah-masalah tersebut, ia mungkin hanya mencetuskan emosi tanpa kesan kepada undi.
Isu yang berlaku di Sabah bukan satu perkara baharu, ia terjadi sejak silih ganti peralihan kerajaan, namun ia cuba ditangani oleh setiap kerajaan mentadbir. Tetapi sejauh mana itu berlaku, ia bergantung sama ada MA1963 berjaya atau sebaliknya.
Namun kini, ia menampakkan hasil apabila sembilan tuntutan berjaya dimuktamadkan dalam tempoh dua tahun di bawah kerajaan sedia ada dan beberapa perkara utama lain turut mendapat persetujuan.
Dengan kempen memasuki fasa kritikal, pertembungan utama untuk mempengaruhi pengundi ialah antara politik sentimen dan penyelesaian. Parti yang berjaya meyakinkan rakyat, mereka bukan sekadar membangkitkan isu tetapi juga mampu menunjukkan pelan tindakan realistik diyakini mempunyai kelebihan, terutamanya dalam kalangan pengundi atas pagar.
Akhirnya, keputusan PRN Sabah bukan ditentukan oleh retorik parti tempatan atau Semenanjung semata-mata, tetapi sejauh mana rakyat percaya calon yang dipilih dapat memperjuangkan hak Sabah secara berkesan, menjaga integriti dan memastikan manfaat pembangunan sampai kepada rakyat tanpa mengira latar belakang wilayah. – UTUSAN










