Anak kapal warga asing hilang dipercayai terjatuh ke dalam laut

Anak kapal warga asing hilang dipercayai terjatuh ke dalam laut

BEBERAPA anggota penyelamat sedang menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) seorang anak kapal warga Indonesia yang dipercayai hilang selepas terjatuh ke dalam laut berhampiran kawasan perairan Penang Port di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.-GAMBAR/JBPM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang anak kapal warga asing dilaporkan hilang dipercayai akibat terjatuh ke dalam laut berhampiran kawasan perairan Pelabuhan Pulau Pinang atau Penang Port di sini antara pukul 10 malam semalam hingga pukul 2 pagi tadi.

Kehilangan itu dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang kira-kira pukul 3.55 petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa dikenali sebagai Abdul Khodir, seorang warga Indonesia yang berusia 46 tahun.

Katanya, kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa kemudian dilakukan dengan menggunakan kaedah pencarian di atas permukaan air atau ‘water surface searching’ di sekitar kawasan mangsa dilaporkan hilang, namun, lelaki tersebut masih belum dijumpai sehingga kini.

“Disebabkan faktor cuaca yang kurang elok serta keadaan laut yang bergelora, operasi pencarian mangsa bagaimanapun terpaksa ditangguhkan dan akan disambung semula pada pukul 8 pagi esok.

“Pada masa yang sama, Pos Kawalan Bomba (PKB) juga telah dibuka di Pengkalan Marin Mak Mandin di sini dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya di sini, hari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN