BUTTERWORTH : Anak kapal warga Indonesia yang dilaporkan hilang dipercayai akibat terjatuh ke dalam laut berhampiran Pelabuhan Pulau Pinang atau Penang Port semalam, masih belum dijumpai sehingga tengah hari tadi.
Perkara itu disahkan oleh Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, John Sagun Francis.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki berusia 46 tahun yang dikenali sebagai Abdul Khodir sebelum itu terpaksa dihentikan petang semalam disebabkan keadaan cuaca yang kurang elok serta laut bergelora dan disambung semula pagi tadi.
Katanya, operasi SAR hari ini dikoordinasikan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan dibantu oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba, polis marin serta pasukan bomba sukarela.
“Kawasan pencarian pula bermula dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh sehingga radius 5 kilometer,” katanya yang memaklumkan, operasi tersebut masih berjalan sehingga kini.
Mangsa yang menaiki kapal Cassandra 2701 sebelum itu dikatakan hilang dipercayai terjatuh ke dalam laut antara pukul 10 malam kelmarin hingga 2 pagi semalam sebelum laporan mengenai kehilangannya dibuat kira-kira pukul 3.55 petang semalam.-UTUSAN










