Anak cerminan amanah di hadapan Allah SWT kelak

Anak cerminan amanah di hadapan Allah SWT kelak

MOKHTAR ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM hingar-bingar dunia yang semakin sarat dengan gangguan digital termasuk dalam kalangan generasi muda khususnya kanak-kanak, kita sering lupa bahawa setiap jiwa kecil yang lahir ke dunia ini bukan sekadar penyeri hidup tetapi amanah bahkan ujian daripada Allah SWT.

Anak-anak bukan hanya penerus keturunan tetapi cerminan sejauh mana kita memahami makna tanggungjawab terhadap amanah Ilahi.

Tokoh Imam Kedah 2025, Mokhtar Zakaria, 73, memberitahu dalam mendidik anak-anak ciri yang paling utama adalah penghayatan nilai-nilai agama kerana tanpa itu ilmu yang mereka peroleh hanya tinggal pengetahuan kosong.

HAJI MOKHTAR ZAKARIA
Jawatan
 Imam Masjid Jamek Kampung Tualang, Bukit Besar Yan Kedah
 Bendahari Persatuan Pegawai Masjid Kedah
 Yang Dipertua Persatuan Pegawai Masjid Yan

Pendidikan
 Kolej Islam Klang Selangor
 Universiti Putra Malaysia
 Universiti Utara Malaysia

“Dalam membina akhlak anak-anak, tidak ada satu pihak yang mampu berdiri sendiri. Ibu bapa, sekolah, dan masyarakat, ketiga-tiganya mesti seiring. Namun, ibu bapalah pemegang amanah utama kerana mereka yang akan terlebih dahulu ditanya di hadapan Allah kelak.

“Seperti Firman Allah SWT dalam Surah at-Tahrim ayat 6, “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.”

“Ayat ini bukan sekadar peringatan, tetapi panggilan tanggungjawab. Guru membentuk minda, masyarakat membentuk suasana, tetapi ibu bapalah yang membentuk jiwa. Sekolah hanyalah medan sokongan, masyarakat pula cermin semak imbang, namun resipi sebenar anak yang baik tetap bermula di rumah,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Kampung Tualang Bukit Besar dekat Yan baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut, katanya yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam dunia pendidikan, mendidik sememangnya bukan kerja mudah.

“Kalau ibu bapa terlalu keras anak memberontak dan jika terlalu lembut anak tidak kenal batas. Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan. (Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al Iman)”

“Dalam kelembutan mesti ada ketegasan. Pendidikan bukan sekadar soal disiplin tetapi soal keseimbangan. Anak-anak perlu dibimbing bukan ditakut-takutkan.

“Sebahagian ibu bapa gemar menakutkan anak dengan agama, “Jangan buat begitu, nanti masuk neraka!” sedangkan agama itu bukan untuk menakutkan, tetapi untuk menyedarkan. Didikan yang benar tidak menghukum, tetapi menyuburkan kefahaman dan kasih,” katanya yang menerima anugerah Tokoh Imam Kedah sempena sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini.

Tokoh Imam ini juga berpesan dengan satu perumpamaan yang mendalam bahawa garam tetap memberi rasa masin, gula tetap memberi rasa manis, cili tetap memberi rasa pedas.

“Begitu juga anak-anak, hasilnya bergantung pada resipi dan cara memasaknya,”kata bapa kepada tiga anak ini.

Tambahnya, mendidik anak bukan urusan peribadi semata, tetapi amanah yang perlu dilakukan dalam semangat tawakal dan taawun iaitu saling membantu antara ibu bapa, sekolah, dan masyarakat.

“Pendidikan bukan sekadar mengisi kepala anak-anak dengan pelajaran, tetapi mengisi hati mereka dengan iman. Bukan hanya mengajar cari rezeki, tetapi membimbing cari reda Ilahi.

“Akhirnya, ibu bapalah nakhoda kepada perahu kecil bernama anak itu sama ada ia berlabuh di pelabuhan bahagia, atau hanyut dalam arus dunia tanpa arah. Sabda Rasulullah SAW dalam Riwayat al-Bukhari dan Muslim – Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan ditanya tentang kepemimpinannya.” Jadi tunai amanah itu dengan sebaiknya,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×