Amaran banjir di Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Klang mulai hari ini

Amaran banjir di Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Klang mulai hari ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat daerah di Selangor iaitu Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Klang diramalkan dilanda banjir susulan Amaran Hujan Lebat Berterusan (Bahaya) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dalam satu kenyataan berkata, banjir diramalkan berlaku di keempat-empat daerah tersebut mulai hari ini sehingga esok.

Katanya, antara lokasi dijangka terjejas kawasan di Lembangan Sungai Buloh dan Sungai Klang (Sungai Batu) di Gombak; Lembangan Sungai Buloh, Sungai Klang dan Sungai Damansara (Petaling) serta Sungai Klang (Klang).

“Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia akan membuat pemantauan berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan sungai-sungai tersebut.

“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan. Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan banjir,” katanya hari ini.

Berdasarkan kemas kini di laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 12 tengah hari ini, seramai 73 mangsa dipindahkan ke lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Selangor.

Setakat ini banjir dilaporkan melanda empat daerah iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat dan Shah Alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN