PETALING JAYA: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan AQ Energy untuk memperluas penyelesaian tenaga solar dan sistem simpanan bateri (BESS) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Mou tersebut merupakan sebahagian daripada usaha menyokong peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.
Menurut Alliance Bank dalam kenyataan, kerjasama ini mensasarkan pembangunan projek solar dan BESS bersepadu dengan kapasiti sehingga 30MW dan nilai projek sehingga RM100 juta.
“Sistem BESS membolehkan perniagaan menyimpan tenaga solar berlebihan pada siang hari untuk digunakan pada waktu malam, serta membantu menguruskan permintaan elektrik puncak semasa operasi,” katanya.
Ketua Pegawai Kelestarian Alliance Bank, Roy Heong berkata, kerjasama ini sebahagian daripada Sustainability Impact Programme (SIP) yang menyokong pelanggan dalam perjalanan transformasi tenaga melalui pembiayaan dan penyelesaian bukan kewangan.
“Dengan bekerjasama bersama AQ Energy, kami bukan sahaja menyediakan modal tetapi juga kepakaran teknikal untuk melaksanakan projek tenaga boleh diperbaharui yang memberi impak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AQ Energy, Hatim Salleh berkata, pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan Alliance Bank untuk meningkatkan akses penyelesaian Solar PV dan Bateri kepada pelanggan kediaman, komersial dan industri.
“Kerjasama ini membolehkan pelanggan mengguna teknologi untuk meningkatkan kecekapan kos sambil menyokong matlamat National Energy Transition Roadmap (NETR) mencapai 70 peratus campuran tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050,” katanya.
Kerjasama ini turut merangkumi pengenalpastian projek, nasihat ESG dan usaha membina kapasiti bagi mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui. – UTUSAN










