PETALING JAYA: Semua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang memperoleh keputusan 10A wajar diberikan penempatan secara automatik dalam program matrikulasi sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik mereka.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu penting bagi memastikan akses pendidikan yang adil kepada pelajar berprestasi tinggi, di samping memanfaatkan potensi mereka untuk pembangunan negara.
Katanya, DAP menggesa kerajaan meneruskan dasar tersebut selain memberi pertimbangan sewajarnya kepada pelajar cemerlang lain berdasarkan kapasiti sedia ada.
“Ini penting bagi memastikan tiada pelajar cemerlang tercicir daripada arus pendidikan tinggi hanya kerana kekangan tempat.
“Perkara itu merupakan antara ketetapan yang dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti berkenaan malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, CEC turut menzahirkan sokongan terhadap usaha kerajaan dalam menangani krisis global secara menyeluruh bagi melindungi ketahanan ekonomi negara, kebajikan rakyat serta sumber strategik.
Beliau berkata, parti itu telah dimaklumkan mengenai perkembangan konflik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan pasaran tenaga global termasuk risiko gangguan bekalan minyak ke Malaysia selepas bulan Mei.
“Sehubungan itu pimpinan dan wakil rakyat DAP diarahkan memperhebatkan penglibatan di peringkat akar umbi bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan penggunaan tenaga secara berhemah.
“Kita menggalakkan orang ramai mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan serta mengamalkan penggunaan tenaga secara lebih efisien bagi membantu mengurangkan permintaan bahan api,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, DAP turut menyokong tindakan tegas tanpa kompromi terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol yang menyebabkan kematian.
Katanya, wakil parti itu dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai pengasingan kuasa Peguam Negara juga akan memastikan penambahbaikan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan dapat dimuktamadkan segera untuk dibentangkan pada sidang Parlimen Jun ini. – UTUSAN










