KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, beretika dan bertanggungjawab.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan menghormati hak rakyat untuk bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun kebebasan itu tidak bersifat mutlak dan perlu diamalkan secara tertib.
Katanya, ia juga mestilah mengambil kira kepelbagaian budaya dan agama dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Menurutnya, perkara itu selaras dengan Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Parlimen mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara demi kepentingan keselamatan negara, ketenteraman awam, moraliti, hubungan antarabangsa serta perlindungan institusi Parlimen dan badan kehakiman.
“Kerajaan tidak berniat untuk menghalang kebebasan bersuara tetapi mahu memastikan ia dilaksanakan dengan tanggungjawab dan tidak disalahguna sehingga menggugat keharmonian atau menimbulkan keresahan awam,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Fahmi berkata, pindaan terhadap Seksyen 233 Akta 588 yang berkuat kuasa mulai 11 Februari 2025 selepas diwartakan pada 7 Februari lalu, merupakan langkah memperkukuh kawal selia komunikasi dalam talian dengan memperluas tafsiran terhadap penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan media sosial.
Penambahbaikan itu, katanya, merangkumi elemen jelik melampau, niat melakukan kesalahan berkaitan penipuan atau fraud serta enam huraian baharu mengenai sifat komunikasi yang boleh dijadikan panduan kepada orang awam, pihak berkuasa, pendakwaan dan mahkamah.
Menurutnya, pindaan itu bertujuan memastikan undang-undang sedia ada terus relevan dengan cabaran semasa, termasuk penyebaran maklumat palsu, kandungan ekstrem dan manipulasi digital, tanpa mengetepikan hak rakyat untuk bersuara.
“Langkah ini penting bagi mewujudkan keseimbangan antara kebebasan bersuara dengan keselamatan dan integriti ekosistem dalam talian.
“Kita mahu ruang digital kekal terbuka, tetapi tertakluk kepada undang-undang yang melindungi kepentingan awam,” katanya. – UTUSAN










