PETALING JAYA: Penyanyi, Nubhan, rela menanggung semua kesalahan membabitkan pergolakan rumah tangganya bersama isteri, Dr. Afifah Hidayah, asalkan masyarakat menghentikan sebarang spekulasi mengenai perkahwinan mereka.
Jelas Nubhan atau Nubhan Ahamad, 39, orang luar hanya boleh berprasangka, namun hanya dia dan Isteri mengetahui cerita sebenar yang berlaku di sebalik pergolakan rumah tangga mereka.
“Biarlah saya letak semua kesalahan di atas bahu saya. Benda ni bukan mudah untuk saya. Lebih-lebih perlu fokus dalam banyak perkara. Saya rasa cukuplah ya.
“Apa pun khabar yang keluar membabitkan saya dan dia, yang orang luar tahu hanya sedikit. Selebihnya, biarlah saya sendiri yang simpan.
“Sekarang ini sudah semakin banyak spekulasi dan jadi sangat mencabar. Ada yang kutuk dan cakap bukan-bukan,” katanya.
Penyanyi Sekali Lagi itu juga menegaskan walaupun sudah melafazkan cerai, namun dia masih menghormati Dr. Afifah Hidayah sebagai isteri kepada tiga orang cahaya matanya iaitu Aafiya Kamilia, 8, Ahmad Aaffan, 6 dan Afzan Nayillle, 3.
“Saya masih menghormati dia dan akan terus hormat dia sebagai ibu kepada anak-anak saya. Jika anda lihat apa yang berlaku di media sosial, tolonglah, tidak perlu cakap bukan-bukan. Itu adalah isteri saya.
“Sekali lagi, letak sahaja kesalahan pada saya, saya akan terima. Saya pun sudah tidak mahu bercakap tentang ini lagi dan rasa ia perlu dihentikan,” katanya.
Dalam masa yang sama, Nubhan turut meminta agar masyarakat memberinya ruang untuk fokus terhadap anak-anak serta komitmennya dalam program Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) yang sedang berlangsung.
“Saya mahu fokus kepada anakp-anak dan pertandingan Gegar Vaganza ini. Saya rasa tak nak cakap pasal hal ni lagi dan perlu dihentikan.
“Saya sudah ‘berat’ tanggung banyak tanggungjawab. Bagilah saya ruang dan peluang meneruskan tanggungjawab di GV pula, hentikanlah kecaman dan kata-lata tidak baik,” rayunya.
Terdahulu, kontroversi membabitkan rumah tangga Nubhan semakin memanas apabila isterinya, Afifah, mendedahkan wujud orang ketiga dalam perkahwinan mereka.
Menerusi perkongsian media sosial, Afifah juga mendakwa Individu tersebut juga seolah-olah cuba menggantikan tempatnya sebagai seorang ibu.
Nubhan turut dilaporkan telah melafazkan cerai terhadap Afifah dan memfailkan pengesahan lafaz talak di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.
Mahkamah menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh sebutan kes berkenaan. -UTUSAN










