Aisha Retno terharu diapit Ariana Grande, Cynthia Erivo

Aisha Retno terharu diapit Ariana Grande, Cynthia Erivo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Aisha Retno mencuri perhatian peminat apabila berkongsi sebuah video memaparkan dirinya diapit dua bintang filem Wicked, Ariana Grande dan Cynthia Erivo, ketika menghadiri acara karpet kuning di Universal Studios Singapore, semalam.

Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, dijemput khas bagi mewakili Malaysia ke tayangan perdana sekuel filem Wicked: For Good di Singapura.

Dalam video yang dimuat naik di laman sosialnya, Aisha kelihatan sebak apabila berpeluang bertemu idolanya sejak kecil, khususnya Ariana Grande.

Lebih manis, penyanyi itu turut menggunakan kesempatan yang ada bagi menyanyikan lagu runut bunyi For Good bersama Ariana dan Cynthia.

“Mewakili Malaysia untuk tayangan perdana filem Wicked, saya sayang awak, Ari. Saya sayang awak, Cynthia.

”Hidup saya berubah menjadi lebih baik kerana dua individu hebat ini. Saya telah menjadi peminat mereka sejak dahulu lagi,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Tidak ketinggalan, Aisha turut menyerahkan cenderamata berupa kain batik Malaysia kepada kedua-dua selebriti Hollywood itu sebagai tanda kenangan.

Terdahulu, Aisha terpilih menjadi penyumbang suara untuk watak Glinda, yang dilakonkan Ariana Grande dalam versi alih suara Bahasa Malaysia bagi filem Wicked.

Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada warganet yang rata-ratanya berbangga dengan pencapaian penyanyi itu.

“Tahniah, awak buat Malaysia bangga,” tulis seorang pengguna.

“Orang yang tepat diterbangkan ke sana,” kata seorang lagi.

“Ini momen yang awak memang layak dapat,” ujar pelakon Nazim Othman. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN