PETALING JAYA: Syarikat penerbangan khususnya AirAsia disaran menawarkan tambang khas bawah RM300 bagi perjalanan pergi dan balik kepada pengundi Sabah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, walaupun AirAsia baru-baru ini mengumumkan promosi khas ‘Jom Balik Undi’ dengan tambang serendah RM299 sehala, kadar tersebut masih terlalu tinggi bagi kebanyakan rakyat Sabah khususnya golongan B40 dan M40.
“Dengan kadar RM299 sehala, kos perjalanan pergi balik antara Sabah dan Semenanjung mencecah sekitar RM598 seorang belum termasuk caj bagasi, cukai lapangan terbang dan perbelanjaan lain.
“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan tekanan kos sara hidup yang tinggi ketika ini, mampukah rakyat biasa menanggung hampir RM600 hanya untuk pulang mengundi?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, AirAsia pernah menerima pembiayaan berjumlah RM300 juta daripada Sabah Development Bank (SDB) sewaktu tempoh pandemik Covid-19 iaitu kelulusan yang diberikan ketika pentadbiran bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Katanya, setakat ini jumlah bayaran balik kepada SDB hanya sekitar RM170 juta iaitu bermakna masih terdapat baki besar yang belum diselesaikan kepada institusi kewangan milik Kerajaan Negeri Sabah itu.
“Atas dasar moral dan keadilan sosial, wajar bagi AirAsia menunjukkan rasa tanggungjawab kepada negeri yang pernah membantu mereka bertahan dengan menawarkan tambang khas bawah RM300 pergi balik kepada pengundi Sabah sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata, langkah tersebut bukan sahaja mencerminkan tanggungjawab korporat dan kepekaan sosial, malah memberi nilai moral positif kepada keputusan kerajaan negeri terdahulu yang membantu syarikat berkenaan ketika tempoh sukar.
“Dari sudut ekonomi dan tanggungjawab sosial korporat (CSR), langkah ini menunjukkan bantuan dana negeri kepada syarikat korporat akhirnya kembali kepada rakyat, bukan hanya kepada keuntungan,” katanya.
Pada masa sama, Suhaimi menyeru agar Mohd. Shafie sendiri tampil menyokong dan mendesak AirAsia menyalurkan subsidi tambang khas kepada rakyat Sabah yang ingin pulang mengundi.
“Jika dana RM300 juta daripada SDB pernah membantu syarikat ini bertahan di waktu sukar, maka menurunkan harga tiket kepada bawah RM300 untuk rakyat Sabah pulang mengundi bukanlah beban, sebaliknya satu tanggungjawab sosial yang wajar,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 15 November sebagai tarikh penamaan calon, 25 November bagi pengundian awal dan 29 November sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17. -UTUSAN










