KUBANG PASU: Mangsa banjir di Kampung Paya Tok Kiong, Jitra di sini terpaksa berteduh di beranda rumah selama lima jam setelah rumah mereka dinaiki air dengan pantas dalam kejadian awal pagi hari ini.
Menceritakan detik-detik mencemaskan itu, Maznah Mohamad, 55, berkata, dia dan suami, Bakri Hassan, 61, sedang tidur apabila air mula mengenangi rumah mereka pada pukul 4 pagi.
“Air naik cepat sebelum menenggelamkan rumah dan kami tak dapat menyelamatkan apa-apa sebelum berlari ke beranda rumah. Ketika diselamatkan kami sehelai sepinggang sahaja. Semua barang tenggelam,” katanya selepas dibawa keluar oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Suri rumah itu berkata, kejadian banjir ini adalah yang kedua namun insiden kali ini agak teruk kerana air naik dengan pantas serta arus deras.
“April lepas banjir juga dan terpaksa berpindah tetapi kali ini teruk lagi sebab arus air deras sangat,” katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Yazid Ali, 45, dari Kampung Kelubi berkata, dia bersama tiga anak termasuk seorang bayi berusia dua bulan keluar dari rumah mereka dengan segera awal pagi ini.
“Kami buat keputusan untuk keluar segera setelah rumah mula dinaiki air dengan cepat. Kalau tunggu lama risau keadaan menjadi lebih buruk sehingga perlu diselamatkan. Semua barang-barang dipindahkan ke tempat tinggi sebelum kami ke pusat pemindahan sementara di Dewan Wawasan Jitra,” katanya.
Sementara itu, Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Bukhori Mat Sidik menasihatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dipindahkan ke asrama tidak pulang ke rumah sehingga banjir pulih sepenuhnya ekoran cuaca tidak menentu ketika ini.
Beliau berkata, situasi banjir itu dijangka berlarutan sehingga Monsun Timur Laut (MTL) berakhir pada Mac tahun depan sekali gus meningkatkan potensi bencana. – UTUSAN










