Ada orang mahu tampar, cili muka Trisha Ooi - Utusan Malaysia

Ada orang mahu tampar, cili muka Trisha Ooi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gara-gara lakonannya sebagai watak antagonis dalam drama Jika Cinta Itu Buta, pelakon, Trisha Ooi menerima pelbagai mesej berbaur ugutan daripada penonton.

Menurut Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 26, segelintir penonton meluahkan rasa geram hingga sanggup mahu menampar dan mencili wajahnya gara-gara lakonannya sebagai Bella dalam drama berkenaan.

“Saya terima banyak mesej daripada penonton yang terlalu marah dengan watak Bella. Ada yang sampai kata nak lempang, cili muka saya bagi pihak Maryam, iaitu karakter yang dilakonkan oleh Uqasha Senrose,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Trisha turut berkongsi pengalaman berdepan situasi sama di dunia nyata apabila dimarahi oleh seorang wanita berusia ketika sedang berjalan di tempat awam.

“Pernah juga seorang mak cik maki saya di luar. Waktu itu saya memang terkejut, tapi saya tak melenting. Saya hanya senyum dan tegur dia dengan baik.

”Saya tak ambil hati sebab anggap itu tanda lakonan saya menjadi,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Mengulas mengenai cabaran membawakan watak Bella, pemenang Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia ke-33 itu mengakui peranan tersebut menuntut kekuatan emosi kerana karakter berlapis yang penuh dengan manipulasi dan tipu helah.

“Watak jahat yang saya pernah bawa sebelum ini tidak sekompleks Bella.

“Bella sangat licik dan pandai bermain emosi. Untuk faham permainan karakter ini, saya perlu tenaga dan tumpuan yang tinggi,” jelasnya.

Trisha turut menzahirkan penghargaan kepada barisan pelakon lain seperti Uqasha Senrose, Shah Jaszle dan Keith Foo, selain pengarah Uchee Fukada serta Ain Shariff yang banyak membantunya menjayakan watak tersebut.

Drama 50 episod Jika Cinta Itu Buta mengisahkan Maryam, seorang wanita buta lakonan Uqasha Senrose, yang dikhianati oleh suaminya, Farid, dan sahabat baiknya sendiri, Bella. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN