KUALA LUMPUR: “Malam sebelum kejadian, arwah ada beritahu kakaknya bahawa ada budak mengugut mahu dia mati esok.”
Itu pendedahan bapa kepada murid lelaki tahun empat yang meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 40, mengenai perbualan anak bongsunya itu bersama kakaknya berusia 17 tahun pada malam 30 September lalu.
“Dia beritahu kakaknya yang ada seseorang ugut nak dia mati esok. Tapi kakaknya tak sempat beritahu kami sebelum kejadian,” katanya ketika sidang akhbar di pejabat peguam di Solaris Mont Kiara, di sini hari ini.
Pada 1 Oktober lalu, media melaporkan seorang murid lelaki meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di tandas sekolahnya di Senawang, Seremban, Negeri Sembilan.
Bedah siasat jasad kanak-kanak berusia 10 tahun itu mendapati punca kematian adalah disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa
Sementara itu, Muhammad Hafizuddin berkata, hasil siasatan polis kemudian menemukan sebuah buku catatan di bawah meja anaknya di sekolah yang mengandungi tulisan ‘seseorang nak awak mati, tapi saya tak tahu awak ke syurga atau ke neraka….’.
Katanya, penemuan itu menimbulkan tanda tanya besar terhadap punca sebenar kematian anaknya yang sebelum ini didakwa membunuh diri.
Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddin menafikan dakwaan yang menular kononnya anaknya seorang murid autisme atau istimewa.
“Banyak tuduhan yang kami dengar sangat menyedihkan. Anak saya hanya dirujuk kepada pakar kerana ‘speech delay’ dan pakar sahkan dia bukan autisme.
“Tak pernah ada guru yang cakap anak saya ada kecacatan. Tak adil tuduh kami sembunyikan keadaan dia. Kami pun tak pernah minta layanan khas,” katanya.
Muhammad Hafizuddin turut mendedahkan mangsa pernah menjadi mangsa buli ketika berada di tahun tiga dan kes berkenaan pernah dibawa kepada pihak sekolah selepas anaknya pulang dengan kesan lebam.
Katanya, selepas kematian anaknya, pelbagai spekulasi yang tular di media sosial memberi kesan besar kepada emosi dan psikologi keluarga.
“Sampai sekarang saya masih tak dapat tidur lena. Kesakitan ini takkan hilang,” katanya dalam nada hiba.
Arwah merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan mempunyai dua kakak masing-masing berusia 17 dan 14 tahun. – UTUSAN










