PETALING JAYA: Sebanyak 300 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NG0) diwakili 34 ketua delegasi menyerahkan memorandum kepada Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).
Penyerahan memorandum itu berhubung dakwaan wujud pelanggaran Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) oleh DAP.
Ketua delegasi, Syed Hassan Syed Ali yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, memorandum bertarikh 13 November itu diserahkan bagi memastikan ROS mengambil tindakan segera terhadap beberapa perkara yang didakwa bercanggah secara jelas dengan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, hasil penelitian pakar perundangan, gabungan NGO itu mendapati terdapat peruntukan dalam Perlembagaan DAP yang dikatakan tidak selaras dengan prinsip asas negara.
Ia termasuklah matlamat parti itu untuk ‘memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular asal’ yang didakwa bertentangan dengan Perkara 3(1) mengenai Islam sebagai Agama Persekutuan.
Menurutnya, prinsip kesaksamaan peluang yang digariskan dalam Perlembagaan DAP didakwa boleh menjejaskan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera seperti diperuntukkan dalam Perkara 153, selain tidak menegaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mengikut Perkara 152.
“Selain itu kebimbangan terhadap pendirian DAP mengenai kebebasan beragama dimana bercanggah dengan peruntukan kawal selia penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam di bawah Perkara 11(4) dan (5),” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, gabungan NGO itu menuntut ROS mengambil tindakan segera, termasuk membatalkan pendaftaran DAP atau mewajibkan parti itu meminda mukadimah dan matlamat perlembagaannya dalam tempoh 30 hari.
Katanya, mereka turut menuntut penjelasan rasmi daripada ROS berhubung kelulusan awal Perlembagaan DAP yang didakwa mempunyai percanggahan ketara dengan Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










