KUALA NERUS: Seramai 276 mangsa banjir melibatkan 65 keluarga dari Kampung Baru Pulau Redang, di sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air ekoran fenomena air pasang besar, hari ini.
Fenomena air pasang besar setinggi 2.4 meter selain hujan tidak berhenti menyebabkan air laut melimpah ke kawasan rendah di perkampungan itu sejak malam tadi.
Walaupun ia dikatakan situasi biasa dihadapi apabila tiba musim tengkujuh, kali ini ia berbeza kerana pada tahun sebelum ini air pasang hanya melewati hingga ke kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Redang.
Namun kali ini melangkaui hingga ke penempatan penduduk.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Nerus berkata, mangsa dipindahkan secara berperingkat ke PPS Masjid Pulau Redang di sini sejak pukul 8 pagi ini.
“Setakat ini, satu PPS dibuka yang menempatkan 276 mangsa daripada 65 keluarga. Mereka melibatkan 101 lelaki, 103 wanita, lapan warga emas lelaki, 12 warga emas perempuan manakala bakinya 50 orang adalah kanak-kanak.
“Cuaca masih tidak menentu dan kami terus memantau situasi dan perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN










