PUTRAJAYA: Sebanyak 143 projek bangunan dan 91 projek jalan raya telah menerima akreditasi Penarafan Hijau Jabatan Kerja Raya (pH JKR) setakat ini.
Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Roslan Ismail berkata, akreditasi itu diperoleh membabitkan penilaian projek bangunan dan jalan raya yang dibuat bermula 2016 hingga Julai tahun ini.
Beliau berkata, dalam tempoh sama juga, JKR telah menyumbang kepada pengurangan karbon kolektif melebihi 29 juta kilogram CO₂ equivalent.
“JKR juga memainkan peranan secara langsung dalam menyokong pencapaian tujuh Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan di peringkat global.
“Oleh itu selaras dengan aspirasi kelestarian SDG, kita turut menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030,” katanya ketika berucap pada Program JKR Greenday 2025 di sini, hari ini.
Katanya, bagi tahun ini iaitu setakat Julai lalu, JKR telah berjaya merekodkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 1.59 juta kilogram CO₂ equivalent.
Jelasnya lagi, pengurangan pelepasan karbon itu membolehkan JKR mencapai penjimatan tenaga mencecah 2 juta kWj/tahun iaitu bersamaan penjimatan kewangan melebihi RM743,625.00 kepada kerajaan. – UTUSAN










