157 laporan polis sepanjang PRN Sabah, proses buang undi lancar - KPN

157 laporan polis sepanjang PRN Sabah, proses buang undi lancar – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima 157 laporan berkaitan kesalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.  

Daripada jumlah itu, sebanyak 86 kertas siasatan dibuka untuk tindakan lanjut dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi arahan seterusnya.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, antara kesalahan dikesan iaitu perbuatan mencabut bendera, khianat terhadap poster serta provokasi politik.

“Kita juga merujuk beberapa kes kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta satu lagi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membabitkan isu dalam media sosial seperti dakwaan fitnah dan provokasi,” katanya dalam sidang akhbar  selepas meninjau proses pengundian di Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api dekat Sabah, hari ini.

Mengulas proses pengundian hari ini, Mohd Khalid berkata, ia berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang insiden besar, setakat tengah hari ini.

Jelas beliau, hasil pemantauan awal di beberapa pusat mengundi menunjukkan aliran pengundi bergerak teratur sejak pusat mengundi dibuka pukul 8 pagi tadi.

Beliau berkata, tahap disiplin dan sikap matang pengundi Sabah turut membantu kelancaran proses demokrasi kali ini.

“Keadaan keseluruhannya baik, teratur dan terkawal. Tidak ada isu besar yang boleh menimbulkan keraguan atau kerisauan kepada rakyat,” jelasnya.

Beliau sekali gus memberi jaminan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau menggugat ketenteraman sepanjang hari pengundian.

Dalam pada itu, Mohd Khalid memaklumkan bahawa tiada insiden banjir dilaporkan setakat ini, namun menasihati pengundi supaya keluar lebih awal untuk mengundi berikutan keadaan cuaca diramal mendung pada sebelah petang.

“Saya menyeru pengundi agar keluar mengundi awal untuk mengelak kesesakan atau cuaca buruk. Setakat ini, cuaca baik dan tiada banjir dilaporkan,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN