15 stesen minyak berisiko banjir dibenar simpan kuota tambahan

15 stesen minyak berisiko banjir dibenar simpan kuota tambahan

AZMAN Ismail (kiri) semasa mengadakan lawatan ke pemborong utama sempena kesiapsiagaan hadapi musim tengkujuh di Jedok, Tanah Merah, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan membenarkan 15 buah stesen minyak yang berada di kawasan berisiko banjir untuk menyimpan kouta tambahan sebanyak 30 peratus bagi memastikan bekalan bahan bakar itu mencukupi.

Pengarahnya Azman Ismail berkata, langkah itu secara tidak langsung memudahkan anggota pasukan penyelamat dan sukarelawan banjir untuk mendapatkan bahan bakar itu.

Katanya, kebenaran menyimpan bahan bakar itu diberikan bermula November hingga Mac tahun hadapan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut.

“Antara stesen minyak berisiko banjir seperti Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat dan beberapa kawasan lain. Jumlah kouta setiap stesen berbeza, sebagai contoh di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sekitar 400,000 liter sebulan.

“Di Gua Musang, Pasir Puteh, Jeli pula sekitar 100,000 hingga 150,000 liter sebulan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pemborong utama di Jedok di sini sempena kesiapsiagaan hadapi musim tengkujuh.

Azman memberitahu, KPDN akan melakukan pemantauan berkala di kesemua stesen terlibat untuk memastikan bekalan bahan bakar itu tidak diseleweng.

Katanya, rondaan berterusan turut dilakukan di semua stesen-stesen minyak berhampiran sempadan dalam usaha membendung penyeludupan sepanjang musim banjir.

“Sepanjang Januari hingga Oktober KPDN Kelantan telah menahan 214 penyeludup.

“Kita juga telah menyita petrol sebanyak 87,646 liter berjumlah RM189,238 dan diesel (35,598 liter), RM93,679,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN