14,000 warga Rohingya ‘berselerak’ di Kedah

14,000 warga Rohingya ‘berselerak’ di Kedah

MOHD. RIDZZUAN MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah merekodkan kira-kira 14,000 etnik Rohingya yang dikenal pasti Jabatan Imigresen berada di negeri ini, selain 522 tahanan di Depoh Imigresen Belantik di Sik.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, kebanyakan mereka memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah.

“Kami ada membuat pemprofilan semua etnik Rohingya di negeri Kedah, di semua daerah ada mereka ini termasuk Kota Setar, Pendang dan Baling.

“Dari semasa ke semasa kami kemaskini profil mereka, dalam data kami di Kedah ketika ini ada kira-kira 14,000 warga Rohingya yang berselerakan di seluruh negeri,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya, Jabatan Imigresen melaksanakan operasi dan pemeriksaan dari semasa ke semasa terhadap warga asing tersebut dan akan melakukan tangkapan sekiranya mereka didapati tidak memiliki dokumen yang sah.

Namun, Mohd. Ridzzuan mengakui cabaran yang dihadapi Imigresen Kedah adalah untuk menempatkan warga asing ini di depoh tahanan yang kini sudah melebihi kapasiti sepatutnya.

Menurut beliau, Depoh Imigresen Belantik yang mempunyai kapasiti tahanan sebanyak 950 orang kini menempatkan seramai 1,432 tahanan dengan majoritinya adalah warga Myanmar.

“Daripada 1,432 tahanan, 1,217 tahanan adalah warga Myanmar dan daripada warga Myanmar itu kami pecahkan kepada dua kategori iaitu warga Myanmar etnik Rohingya iaitu seramai 522 dan warga Myanmar bukan etnik Rohingya iaitu seramai 695 orang.

“Bagi warga Myanmar bukan etnik Rohingya kita tidak ada masalah untuk usir mereka pulang ke negara asal, tetapi bagi etnik Rohingya mereka tidak diiktiraf sebagai warganegara Myanmar sekali gus mengekang usaha untuk mengusir mereka keluar dari negara ini,” katanya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan tahanan etnik Rohingya kekal ditahan di depoh tahanan dan ada antara mereka yang berada di situ selama lapan tahun.

Tambah beliau, kebanyakan etnik Rohingya ditahan ketika cuba memasuki negara ini melalui jalan laut.

Sementara itu, 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terselamat dalam tragedi bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand, 6 November lalu akan dipindahkan ke depoh Jabatan Imigresen sebaik semua prosedur wajib diselesaikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN