KOTA SAMARAHAN: Seorang wanita maut dalam keadaan ngeri selepas digilis lori 10 tan, manakala seorang lelaki cedera parah dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Kota Samarahan/Tabuan Jaya, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Damataries Lautin berkata kejadian yang dilaporkan kira-kira pukul 9.45 pagi itu berlaku selepas motosikal dinaiki kedua-dua mangsa melanggar belakang sebuah kereta Proton Saga yang berhenti di lampu isyarat.
Katanya kesemua kenderaan berkenaan datang dari arah Jalan Stakan hendak ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
“Siasatan awal mendapati semasa Proton Saga terbabit sedang berhenti di lampu isyarat, tiba-tiba ia telah dilanggar oleh motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa dari arah belakang.
“Akibat perlanggaran itu, pembonceng motosikal terbabit terjatuh ke lorong sebelah kiri dan digilis oleh lori 10 tan yang sedang bergerak lurus,” katanya dalam kenyataan..
Menjelas lanjut, Damataries berkata pembonceng motosikal terbabit yang berusia 40 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggangnya yang berusia 32 tahun cedera parah.
Katanya kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak.
Manakala, Damataries berkata pemandu Proton Saga dan lori terbabit, yang masing-masing wanita berusia 55 tahun dan lelaki berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN










