PASIR MAS: Tindakan seorang tukang masak wanita meminta lelaki orang kurang upaya (OKU) ‘istimewa’ Muhammad Zul Apiz Baharum, 37, atau Mat Tere menunjukkan kemaluannya semasa siaran langsung menerusi aplikasi TikTok membawa padah apabila ditahan polis kelmarin.
Wanita berusia 27 tahun itu ditahan di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kita reman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.
Terdahulu, tular rakaman video tindakan seorang wanita meminta Mat Tere menunjukkan kemaluannya.
Media pada 24 Oktober lalu melaporkan, keluarga kepada Mat Tere meminta orang ramai agar tidak mengambil kesempatan terhadap lelaki tersebut yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Pada 2017, lelaki dari Ketereh itu pernah ditahan selepas didakwa menghina Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail melalui penyebaran video di media sosial.-UTUSAN










