PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat keahlian parti itu berkuatkuasa serta merta.
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang yang juga MPT Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian selama satu penggal.
Lembaga Disiplin Bersatu berkata, selain Wan Saiful, turut dipecat Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd. Isa Saidi; Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis dan ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris.
Katanya, tindakan tersebut dibuat ekoran pelanggaran Perlembagaan dan Tatakelakuan ahli parti.
“Penggantungan itu dibuat berikutan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu, yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan parti, kod etika dan tatakelakuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semua pemimpin dipanggil pada 8 Oktober lalu oleh Lembaga Disiplin parti ekoran beberapa dakwaan termasuk isu pengumpulan Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk menjatuhkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka didakwa terbabit mengumpul SD dalam kalangan Ketua Bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepemimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Dalam pada itu kenyataan itu berkata, ahli parti yang didapati bersalah melanggar disiplin dan dijatuhi hukuman adalah berhak untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari.
“Lembaga Disiplin telah membuat keputusan berdasarkan siasatan yang telah dijalankan serta pertimbangan yang sewajarnya tanpa melibatkan mana-mana campur tangan pihak lain, bebas, dan tidak berat sebelah.
“Lembaga Disiplin juga menyeru kepada semua ahli Bersatu supaya mematuhi Perlembagaan dan Peraturan Kod Etika & Tatakelakuan Ahli demi menjaga nama baik parti,” katanya.-UTUSAN










