KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mengesahkan beliau dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menjelaskan bahawa perkara itu bukan berkaitan isu Akuan Bersumpah (SD) seperti didakwa sesetengah pihak.
“Saya rasa bukan dipanggil sebab isu SD, tetapi isu lain. Apa pun, tunggu keputusan esok,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau merupakan antara enam pemimpin parti itu yang dijadual hadir ke sesi siasatan Lembaga Disiplin, termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Selain Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal, antara pemimpin lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi dan Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis.
Pada 25 September lalu, Lembaga Disiplin Bersatu menangguhkan prosiding bagi memanggil beberapa pemimpin parti, berhubung isu SD bagi mendesak Muhyiddin berundur kerana tidak cukup korum berikutan ketidakhadiran seorang ahli panelnya.
Sebelum ini, Wan Saiful mendakwa Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak layak untuk menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi berhubung video tular yang didakwa membabitkan dirinya pada 2019 belum diselesaikan. – UTUSAN










