BUTTERWORTH: Kementerian Pertahanan bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) untuk menapis veteran tentera berkelayakan untuk diserap ke dalam agensi berkenaan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, bekas anggota Grup Gerak Khas (GGK) akan diberi keutamaan dalam proses penyenaraian calon veteran dalam soal tersebut.
“Keutamaan kita sememangnya kepada anggota GGK atau komando kerana mereka mempunyai kemahiran dan disiplin tinggi yang sesuai dengan keperluan AKPS. Walaupun pemilihan dibuat AKPS, kementerian tetap membantu dengan menyenaraikan anggota terbaik untuk diserapkan bagi menjaga pintu masuk utama negara.
“Peranan AKPS bukan sekadar mengawal sempadan, tetapi juga memastikan keselamatan di pintu masuk utama negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Graduasi dan Peluncuran Program Pemerkasaan Usahawan Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Pangkalan Udara Butterworth di sini, hari ini.
Sebelum ini, ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat Rabu lalu, Adly memaklumkan bahawa veteran tentera skuad elit GGK akan diserap ke AKPS bagi memperkukuh kawalan sempadan sejajar sebahagian usaha kerajaan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran.
Tambahnya, selain GGK, kementerian turut mempertimbangkan bekas anggota pasukan elit lain seperti 10 Briged Paratrooper (10 Briged Para) untuk diserap ke AKPS namun tidak mendedahkan bilangan veteran yang terlibat.
“Bilangan yang diumumkan Perdana Menteri merujuk keseluruhan kekosongan AKPS, dan kita akan bekerjasama bagi memastikan anggota GGK yang tamat perkhidmatan dapat mengisinya,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2026, memaklumkan keutamaan akan diberikan kepada veteran tentera bagi mengisi 220 kekosongan dalam AKPS demi kesiapsiagaan penuh.










