HULU TERENGGANU: Ustaz Mad Kecik atau nama sebenarnya, Muhammad Abdullah, 32, yang merupakan salah seorang aktivis kemanusiaan misi Global Sumud Flotilla (GSF) dimasukkan ke sebuah hospital malam tadi.
Abang sulungnya, Mohd. Faizul, 40, berkata, adiknya itu mengalami masalah kesihatan selepas pulang dari menyampaikan kuliah Maghrib di sebuah masjid di Binjai, Kemaman.
“Kesihatannya tidak begitu baik malam tadi sehingga dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Selepas diperiksa doktor dan beberapa jam selepas itu, beliau bagaimanapun meminta kebenaran pulang berehat di rumah.
“Sama-sama kita doakan agar dia cepat sembuh, kesihatannya kembali pulih,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, menerusi laman sosial akaun Facebook Ustaz Muhammad Bin Abdullah – UMA, penggendali atau pentadbir memaklumkan Ustaz Mad Kecik ditahan di wad selepas pulang dari program kuliah Maghrib
Ustaz Mad Kecik yang merupakan anak keempat dari enam beradik berasal dari Kampung Kuala Dura, di sini u merupakan aktivis Malaysia yang menjadi tumpuan baru-baru ini kerana ditahan secara tidak sah oleh Tentera Pertahanan Israel(IDF) semasa menyertai misi GSF.
Beliau menjadi tular berikutan klip video menunjukkannya dengan tenang menyediakan makanan lempeng di saat menanti pencerobohan tentera Israel di atas kapal dinaikinya bersama beberapa aktivis lain termasuk bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ZRA. – UTUSAN