KUALA TERENGGANU: Minat mendalam terhadap dunia perkapalan dan pengalaman lebih dua dekad dalam industri luar pesisir mendorong empat sahabat melabur jutaan ringgit bagi membina bot nelayan moden pertama di negara ini yang diperbuat daripada aluminium marin berteknologi tinggi dari Greece serta Rusia.
Bot laut dalam bernilai RM2.8 juta itu dibangunkan hasil usaha sama jurutera berpengalaman, Azmir Abdullah, 50, bersama tiga rakan kongsi berlainan latar belakang iaitu Zubir Abu Bakar, 51; Badrol Hisham Mat Ali, 57, dan Aduka Mohd. Ariffin, 60, di Kampung Wakaf Tengah sebelum dibawa ke Kampung Bukit Tumbuh, semalam untuk pemasangan enjin.
Pembinaan bot dimulakan pada Mei tahun lalu dan kini dalam fasa akhir pemasangan enjin, sebelum dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun depan.
Azmir berkata, idea membina bot tersebut tercetus hasil rujukan kepada rekaan lobster boat dari Kanada yang terkenal dengan kestabilan dan ciri keselamatan tinggi.
“Rekaan ini membolehkan bot bertahan sehingga 100 tahun sekiranya tiada perlanggaran besar berlaku. Malah, penggunaan aluminium marin sebagai bahan utama menjadikan bot lebih tahan lasak, antikarat dan memerlukan penyelenggaraan minimum berbanding bahan tradisional seperti fiber atau kayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Bot berkenaan berukuran 16 meter panjang, 4.88 meter lebar dengan kedalaman 2.2 meter dan draf 1.3 meter selain dilengkapi enjin tunggal berkuasa 500 kuasa kuda serta mampu mencapai kelajuan maksimum 18 knot.
Beliau berkata, dengan berat sembilan tan netrik, bot itu boleh menjelajah sejauh lebih 60 batu nautika serta membawa bekalan minyak sehingga satu tan.
“Dibina khusus untuk operasi menangkap ikan bubu laut dalam, bot ini turut menyediakan pelbagai kemudahan moden seperti bilik tidur berhawa dingin untuk enam kru, dapur, tandas dan peti sejuk beku,” katanya.
Azmir berkata, pihaknya kini bersedia untuk menerima tempahan daripada individu atau syarikat yang berminat memiliki bot nelayan moden seumpamanya yang julung kali dihasilkan di negara ini.-UTUSAN










