KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Uqasha Senrose kekal dengan pendiriannya untuk meneruskan prosiding perceraian terhadap suaminya, Kamal Adli, tanpa mengulas lanjut mengenai kemelut rumah tangga mereka.
Peguam syarie yang mewakilinya, Muhammad Syazmee Sapian berkata, anak guamnya mahu memberi ruang kepada proses mahkamah berjalan seperti biasa sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Setakat ini, kita akan teruskan dahulu prosiding ini dan lihat bagaimana perkembangannya nanti.
“Kalau ada kebaikan, saya harap masyarakat serta netizen dapat sama-sama mendoakan yang terbaik.
“Tiada siapa berkahwin dengan niat untuk bercerai, maka kita doakan ada hikmah di sebaliknya,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada Uqasha masih mahu mempertahankan rumah tangga yang dibina bersama Kamal, pelakon berusia 32 tahun itu bagaimanapun enggan memberi sebarang komen dan menyerahkan sepenuhnya kepada peguamnya.
“Terima kasih atas soalan itu, tetapi saya serahkan semuanya kepada peguam saya,” katanya ringkas.
“Dalam pada itu, Muhammad Syazmee turut menzahirkan harapan agar kedua-dua pihak diberi petunjuk terbaik dalam menyelesaikan isu rumah tangga berkenaan.
“Kita doakanlah yang terbaik untuk kedua-dua pihak. Moga ada sinar kebaikan, sama ada ke arah perdamaian atau keputusan lain selepas ini. Kita tunggu prosiding seterusnya,” ujarnya.
Untuk rekod, prosiding perceraian pasangan berkenaan ditangguhkan kepada 19 November depan selepas peguam yang mewakili Uqasha sebelum ini menarik diri daripada mengendalikan kes tersebut.
Pasangan selebriti itu mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 18 bulan.- UTUSAN










