UPKO sedia tanding di DUN Melalap pada PRN17 – Ewon Benedick

UPKO sedia tanding di DUN Melalap pada PRN17 – Ewon Benedick

Ewon (tengah) bergambar dengan ahli UPKO di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom sempena Konvensyen UPKO Tenom 2025. - GAMBAR/IHSAN MEDIA DEB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengesahkan kesediaan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), dengan keyakinan tinggi mampu menawan semula kawasan tersebut.

Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, parti itu mempunyai akar umbi yang kukuh dan sejarah panjang perjuangan di Melalap sejak era pembentukan Malaysia.

“Kali ini, kita mahu melahirkan seorang ADUN Melalap daripada UPKO. Mudah-mudahan dalam pilihan raya ini, kita seiring dengan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen UPKO Tenom 2025 di Dewan Seri Panglima Antanom di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Bahagian UPKO Tenom, Junik Bajit, serta barisan kepimpinan negeri dan bahagian parti itu.

Pada PRN16, UPKO bertanding di 12 kerusi melalui gabungan Warisan Plus, namun gagal menawan mana-mana kerusi. Susulan perubahan politik selepas PRU15, UPKO kini menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) yang membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini.

Dalam pada itu, Ewon menyeru seluruh jentera parti dan rakan dalam gabungan kerajaan supaya memberikan sokongan penuh kepada calon UPKO di Melalap bagi memastikan kemenangan gabungan kerajaan.

“Pilihan raya negeri ini penting untuk memilih kerajaan Sabah. UPKO bersama PH sudah pun menjadi kerajaan Persekutuan, maka pilihlah wakil rakyat daripada parti yang mewakili kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, kelebihan wakil rakyat daripada parti kerajaan ialah keupayaan untuk mengurus dan mempercepat pelaksanaan agenda pembangunan di kawasan masing-masing.

“Wakil rakyat Melalap harus datang daripada parti kerajaan, iaitu UPKO yang kini berada dalam kerajaan Persekutuan. Selain itu, rakyat Melalap juga harus memilih wakil rakyat tempatan kerana hanya pemimpin tempatan benar-benar memahami cabaran dan isu masyarakat setempat,” ujarnya.

Ewon menambah, sebaik sahaja dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, beliau melaksanakan Dasar Pandang ke Timur dalam negara menerusi KUSKOP dengan memberi tumpuan tambahan kepada Sabah dan Sarawak.

Katanya, antara inisiatif yang digerakkan termasuk projek Tamu Desa, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), geran usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak, serta pelbagai program pembangunan ekonomi khusus untuk Borneo.

Dalam pada itu, Ewon turut mencabar parti-parti tempatan lain menyatakan pencapaian mereka terhadap Sabah ketika berada dalam kerajaan Persekutuan.

“Rakyat memerlukan kepimpinan berwajah baharu yang berprestasi, berdedikasi dan mempunyai identiti kepimpinan Sabah. UPKO akan terus berkhidmat dan bekerja untuk rakyat Melalap dan seluruh Sabah,” tegasnya.

Kerusi DUN Melalap kini secara rasmi dikosongkan selepas bekas (ADUN kawasan itu, Datuk Peter Anthony, gagal mendapatkan kebenaran semakan terhadap sabitan dan hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya.

Dengan kekosongan itu, kerusi DUN Melalap yang sebelum ini diwakili Peter sejak 2018 di bawah tiket Warisan sebelum keluar dan menubuhkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) kini berada dalam status kosong sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan sama ada pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan.

Kerusi DUN Melalap mula diwujudkan pada tahun 1999 hasil persempadanan semula kawasan Tenom, Bingkor dan Sook. Antara penyandang terdahulu ialah Datuk Radin Malleh daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mewakili kawasan itu sejak penggal ke-11 hingga ke-14 sebelum digantikan oleh Peter pada 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN