Universiti bebas gugurkan kursus

Universiti bebas gugurkan kursus

ZAMBRY Abdul Kadir pada Majlis Perasmian Transformasi Digitalisasi Pengalaman Pesakit di PPUM dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Medical Record Exchange di antara PPUM dengan SASMEC@IIUM di Bangunan Plaza PPUM, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti di seluruh negara diberikan kebebasan penuh untuk menghentikan mana-mana program pengajian yang dianggap tidak lagi relevan dengan keperluan semasa atau kehendak pasaran kerja, selaras dengan dasar autonomi institusi pengajian tinggi (IPT).

Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ke­putusan untuk menilai, me­ngekalkan atau menghentikan sesuatu kursus bukan ditentukan oleh kementerian, sebaliknya di­buat oleh pihak universiti berdasarkan kajian dalaman dan analisis keperluan tenaga kerja negara.

“Bukan hanya soal autonomi, tetapi memang itu pendekatan yang telah lama diamalkan oleh universiti. Apabila mereka mendapati ada kursus yang tidak lagi relevan, mereka sendiri akan menilai dan membuat keputusan,” katanya.

“Mereka lebih tahu dan lebih maklum tentang kursus mana yang masih relevan dengan ke­perluan semasa serta kehendak pasaran,” katanya selepas me­lancarkan Majlis Transformasi Digitalisasi Pengalaman Pesakit Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan pengurusan universiti diberi kuasa ‘autonomi’ untuk menentukan sesebuah kursus wajar terus ditawarkan atau dihentikan berdasarkan kajian kebolehpasaran yang dilaksanakan sendiri oleh institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, penilaian itu turut mengambil kira permintaan industri dan hala tuju pembangunan negara supaya program pengajian yang ditawarkan benar-benar memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan.

“Sekiranya ada disiplin yang sudah tidak penting lagi, maka universiti tidak akan terus menawarkannya. Namun kita juga tidak mahu universiti tertakluk kepada nilai pasaran semata-mata kerana asas pendidikan tinggi adalah membina manusia seimbang dan berilmu,” katanya.

Zambry berkata, walaupun bidang teknikal dan sains mendapat permintaan tinggi, kursus dalam bidang kemanusiaan dan sains sosial tetap pen­ting untuk membentuk jati diri serta nilai kemanusiaan dalam kalangan pelajar.

“Suatu ketika dahulu ada pandangan bahawa kursus sains sosial sudah tidak mempunyai pasaran sebaliknya, bidang tersebut sangat penting kerana mengandungi subjek-subjek teras yang membina keperibadian, pandangan hidup dan nilai kemanusiaan dalam diri pelajar,” katanya.

Universiti juga katanya, per­lu peka terhadap perubahan landskap pekerjaan yang semakin dipengaruhi teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan analitik data besar.

“Sekarang ini, kita lihat wa­laupun ada mempunyai program-program moden se­perti kecerdasan buatan (AI) dan kursus sains tulen di bawah program S10, universiti mula memberi perhatian semula kepada subjek-subjek dalam bidang Sains Sosial kerana peranannya amat penting dalam membentuk pemikiran seimbang,” katanya.

Zambry turut menolak dakwaan bahawa universiti ko­nonnya ‘melelong’ kursus yang tidak mendapat sambutan pe­­­­lajar, dengan menegaskan setiap program pengajian ditawarkan berdasarkan penilaian akademik yang ketat dan garis panduan KPT.

“Kementerian dan universiti mempunyai garis panduan jelas dalam menilai kesesuaian program. Ia bukan keputusan tergesa-gesa atau bersifat komersial. Tuduhan kononnya universiti ‘melelong’ kursus kerana tiada sambutan tidak berasas sama sekali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN