Universiti ada autonomi hentikan program

Universiti ada autonomi hentikan program

MOHAMMAD SHATAR SABRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengurusan universiti diberi kuasa ‘autonomi’ untuk menentukan sesebuah kursus wajar terus ditawarkan atau dihentikan berdasarkan kajian kebolehpasaran yang dilaksanakan sendiri oleh institusi pengajian tinggi (IPT)

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pengurusan universiti diberikan fleksibiliti untuk menentukan perkara itu kerana lebih arif tentang data kemasukan, hasil kebolehpasaran dan lain-lain.

Pada masa sama, katanya, sekiranya pengurusan universiti mendapati sesebuah kursus itu tidak lagi relevan untuk ditawarkan, mereka sendiri yang akan membuat keputusan menghentikannya.

“MQA memberikan kebebasan kepada universiti untuk menentukan sama ada wajar atau tidak terus menawarkan atau menghentikan program. Sekiranya tidak wajar dan mahu menghentikan, mereka diberikan fleksibiliti dan kebebasan berbuat demikian.

“Pada MQA, sekiranya universiti mahu menawarkan sesuatu program baharu apa yang kami nilai adalah kajian kebolehpasaran, mereka perlu memberikan keyakinan bahawa kursus ditawarkan memang mendapat sambutan daripada majikan.

“Tanpa ada kajian kebolehpasaran, permohonan me­reka tidak akan diluluskan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pengurusan universiti bertanggungjawab me­laksanakan kajian kebolehpasaran untuk semua program-program yang hendak ditawarkan.

“Bidang kuasa MQA bukan me­laksanakan kajian kebolehpasaran tetapi tanggungjawab kami adalah untuk memastikan semua program yang ditawarkan mempunyai permintaan dalam industri, jika tiada permintaan ia tidak akan diluluskan,” katanya.

Kelmarin, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, semua IPT di negara ini akan menilai semula kursus yang tidak relevan dalam mengurangkan masalah pengangguran dan pekerjaan tidak sepadan dengan kemahiran dalam kalangan graduan.

Katanya, penilaian itu dibuat membabitkan kursus yang diperkenalkan dalam tempoh tiga hingga lima tahun lalu.

“Ada kursus yang diwujudkan atas keperluan pada ketika itu, namun kita lihat pasaran kerja bagi kursus berkenaan semakin menurun, jadi kita minta universiti yang tawarkan kursus itu untuk mansuh atau bekukan program berkenaan.

“Jangan ambil lagi pelajar dalam bidang berkenaan. Kerana kita mahu graduan ini bekerja dalam bidang yang dipelajari, bukannya ambil ‘program lelong’ hanya semata-mata mahu masuk universiti. Dengan penilaian semula ini, tiada lagi tuduhan kata kita melelong kursus atau melaksanakan program tidak relevan di universiti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN