UniSZA–Primula hasil baja kompos daripada sisa makanan hotel

UniSZA–Primula hasil baja kompos daripada sisa makanan hotel

FADZLI Adam (dua, kiri) dan Suaibah Harun (dua, kanan) bergambar selepas selesai menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UniSZA dan Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu. — UTUSAN / PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sisa makanan yang sebelum ini dibuang kini diberi nafas baharu apabila ia diolah menjadi baja kompos berkualiti tinggi hasil kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu.

Usaha tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan lambakan sisa buangan dapur hotel malah turut membuka ruang kepada penyelidik tempatan memperkasa inovasi hijau melalui teknologi pemprosesan bahan buangan makanan menjadi baja organik yang mesra alam.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, projek berkenaan dijalankan di bawah program Academic Industry Engagement Research Project (AIEP) yang melibatkan penyelidik daripada Fakulti Biosumber dan Industri Makanan universiti itu.

Katanya, projek itu adalah usaha bersama pertama seumpamanya di negeri ini yang memanfaatkan sisa buangan dapur hotel untuk dijadikan baja kompos berkualiti tinggi bagi kegunaan pertanian.

“Melalui kepakaran penyelidik UniSZA, kami mengkaji bagaimana bahan buangan makanan dapat diproses semula menjadi baja kompos yang bersih, tidak berbau serta kaya nutrien untuk tanaman.

“Primula menjadi hotel pertama di Terengganu yang terlibat dalam projek ini dan kita berharap ia dapat dikembangkan ke lebih banyak hotel lain di negeri ini serta di Pantai Timur pada masa hadapan,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UniSZA dan Hotel Primula Beach di sini, hari ini.

Beliau berkata, tempoh pelaksanaan projek dijangka mengambil masa antara satu hingga dua tahun dengan pembiayaan awal daripada dana dalaman universiti.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Primula Beach, Suaibah Harun berkata hotel berkenaan menghasilkan kira-kira 40 kilogram sisa makanan setiap hari terutama daripada bufet harian.

“Sebelum ini semua lebihan makanan dibuang kerana tidak boleh disalurkan kepada pihak luar atas faktor prosedur operasi standard (SOP).

“Kini, sisa tersebut dikumpul setiap hari dan diproses menjadi baja kompos secara semula jadi dalam tempoh antara satu hingga tiga bulan sebelum digunakan untuk tanaman fertigasi di kawasan hotel,” katanya.

Jelasnya, proses penghasilan baja dilakukan secara manual tanpa mesin khas sebaliknya menggunakan bahan tambahan semula jadi untuk mempercepat proses pereputan sebelum ditukar menjadi baja kompos. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN