'Umpan' remaja dengan gaya hidup, tarik jadi pengedar dadah

‘Umpan’ remaja dengan gaya hidup, tarik jadi pengedar dadah

MOHD. Yusoff Mamat (tiga dari kiri) bersalaman dengan pelajar semasa Program Citra Remaja Unggul di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Golongan tauke dadah di negeri ini menggunakan gaya hidup mewah mereka sebagai ‘umpan’ untuk memerangkap remaja  menjadi pengedar dadah kecil-kecilan.

Gaya hidup mewah lengkap dengan kenderaan import, pakaian berjenama dan telefon pintar membuatkan ada dalam kalangan pelajar sanggup menjadikan tauke dadah sebagai idola.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pendedahan itu berpandukan kepada maklumat yang diterima pihaknya.

Katanya, siasatan lanjut berkaitan maklumat ini sedang dijalankan.

“Tauke dadah ini pamerkan kemewahan seperti rumah besar dan sebagainya untuk tarik minat pelajar.

“Akhirnya pelajar ini terpengaruh dan mula menjadi pengedar secara kecil-kecilan. Bila nampak hasil lumayan, mereka terus terjebak,” katanya selepas merasmikan Program Citra Remaja Unggul di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra di sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad.

Mohd. Yusoff berkata, sebanyak 12 tangkapan dadah melibatkan pelajar direkodkan sepanjang tempoh sembilan bulan pertana tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu. Kota Bharu merekodkan tangkapan tertinggi iaitu lima diikuti Tanah Merah (empat),  Pasir Mas (dua) dan Bachok (satu).

“Jumlah tangkapan pelajar yang sama turut direkodkan pada 2024 yang menunjukkan bahawa masalah ini masih berterusan dan perlu ditangani sehingga ke akar umbi.

“Sebab itu kita tegaskan, dadah adalah musuh nombor satu negara. Sekali terjebak, ia merosakkan tubuh, minda, masa depan dan memusnahkan nilai insan serta institusi keluarga. Ketagihan ini bukan sekadar jenayah, tetapi ancaman kepada maruah bangsa dan keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN