KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) membangunkan aplikasi khas bagi memudahkan pelajar membuat aduan berkaitan kes buli dan keganasan terhadap wanita termasuk gangguan seksual kepada pihak universiti yang dikenali sebagai Skuad Waja Siswa@UMK
Naib Cancelornya, Datuk Dr. Arham Abdullah berkata, aplikasi itu dibangunkan oPusat Komputer dan Infrastruktur (CCI) UMK untuk menyokong usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam menubuhkan Skuad Wanita Anti Jenayah (Skuad Waja) bagi menangani kes-kes berkenaan.
Menurutnya, aplikasi tersebut diintegrasikan di dalam Cinemo yang merupakan aplikasi induk UMK yang boleh diakses secara harian oleh semua kakitangan termasuk pelajar untuk pendaftaran dan rekod kehadiran.
“Menerusi Skuad Waja Siswa@UMK, kakitangan dan pelajar UMK tidak perlu lagi membuat aduan berkaitan buli dan keganasan terhadap wanita melalui panggilan telefon atau secara manual.
“Aplikasi itu membolehkan kakitangan dan pelajar membuat aduan secara dalam talian, melihat senarai aduan dan menghantar aduan terus kepada Skuad Waja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Skuad Waja Siswa Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2025 yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Wanita, Dr. Faridah Awang di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Arham memberitahu, aplikasi yang dibangunkan sejak sebulan lalu itu turut menitikberatkan kepentingan melindungi identiti pengadu walaupun ia membolehkan sekretariat bertanggungjawab mengesan pengadu. – UTUSAN









