UKM peruntuk RM2.9 juta bantu 2,398 pelajar kurang berkemampuan

UKM peruntuk RM2.9 juta bantu 2,398 pelajar kurang berkemampuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperuntukkan sebanyak RM2.9 juta bagi membantu  2,398 pelajar sesi pengajian 2025/2026 dalam kategori B40 untuk memulakan pengajian mereka di universiti itu.

Bantuan turut melibatkan pelajar dalam kategori orang kurang upaya (OKU) dan disalurkan melalui program Jejak Pewaris Watan. 

Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata, setiap pelajar menerima bantuan sebanyak RM1,200 untuk membolehkan mereka membuat pendaftaran yang diadakan kelmarin.

Beliau berkata, UKM menerima kemasukan seramai 4,078 pelajar bagi sesi pengajian 2025/2026 yang akan mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang  peringkat sarjana muda di universiti berkenaan.

“Selain bantuan awal tersebut, universiti turut menyediakan sumbangan makanan menerusi inisiatif Bakul Rahmah untuk memastikan pelajar kurang berkemampuan terus mendapat sokongan sewajarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pada tahun lalu, UKM menyalurkan peruntukan berjumlah RM6.5 juta bagi membantu kira-kira 8,000 mahasiswa di universiti itu.

Sementara itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut menyalurkan bantuan awal antara RM1,500 hingga RM3,300 kepada 84 pelajar dalam kategori kurang berkemampuan  melalui Skim Bantuan Khas Semester Satu di bawah Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) universiti itu.

Pengarah  WEZAS, Prof. Madya Dr. Mohd. Abdul Nasir Abd. Latif berkata, bantuan membabitkan kos perjalanan dan penginapan pendaftaran sebanyak RM500 serta  bantuan awal antara RM1,500 hingga RM3,300 (mengikut kategori pelajar).

Beliau berkata, bagi sesi pengajian kali ini UPSI menerima kemasukan 4,016 pelajar.

Katanya, skim bantuan itu mula diperkenalkan oleh WEZAS bermula 2023 bagi membantu pelajar-pelajar yang ditawarkan pengajian di UPSI namun tidak mampu membayar yuran pendaftaran.

“Bantuan yang disalurkan adalah usaha UPSI menyahut seruan kerajaan menerusi Malaysia Madani yang bertekad menoktahkan kemiskinan melalui pendidikan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN