UiTM Chamber Choir (UCC) dari Fakulti Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencipta sejarah apabila meraih pingat emas dalam dua kategori di pertandingan African Asia Pacific Choir Games 2025 yang berlangsung di Mauritius, dari 27 September hingga 1 Oktober lalu.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc, berkata, beliau menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti kemampuan anak bangsa bersaing di pentas dunia.
“Kemenangan ini bukan sekadar sebuah trofi, tetapi bukti bahawa bakat anak bangsa mampu bersaing di pentas dunia. UiTM Chamber Choir membawa suara Malaysia ke persada antarabangsa, sekali gus mengangkat martabat UiTM dan negara tercinta.
“Kejayaan ini turut disertai dengan gelaran tertinggi Grand Prix de Nation bagi kategori Chamber Choir dan Equal Voice, pengiktirafan eksklusif yang hanya diberikan kepada koir terbaik keseluruhan,” katanya.
Seramai 25 pelajar Fakulti Muzik UiTM di bawah pimpinan konduktor dan pensyarah, Maryann Magdalena, berjaya menampilkan persembahan bertenaga sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa yang disertai 53 koir dari 14 negara. Turut mengiringi pasukan itu ialah Dekan Fakulti Muzik, Prof. Dr. Tazul Izan Tajuddin.
UiTM turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pensyarah, jurulatih, fakulti serta seluruh warga universiti yang menjadi pendorong kepada kejayaan tersebut.
Menurut pihak UCC, kemenangan ini bukan sahaja mengangkat nama fakulti dan universiti, tetapi juga menjadi inspirasi kepada mahasiswa untuk terus mengasah bakat dan berdaya saing di peringkat global. – UTUSAN