Berulang alik Kota Kinabalu-Tawau demi segulung ijazah di UMS

Berulang alik Kota Kinabalu-Tawau demi segulung ijazah di UMS

ERNI Suliza Basri berjaya mengggenggam berjaya menamatkan pengajian di UMS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perjalanan seorang guru dari Tawau, Erni Suliza Basri, menjadi inspirasi apabila beliau berjaya menggengam segulung Ijazah Sarjana dalam pengajian Sarjana Pengurusan Pendidikan di Universiti Malaysia Sabah (UMS),
meski pun berdepan pelbagai cabaran sebagai pelajar separuh masa.

Erni Suliza yang lebih mesra dipanggil sebagai Teacher Erni oleh anak muridnya di Sekolah Kebangsaan St. Patrick Tawau berkongsi bagaimana beliau berulang-alik antara Tawau dan Kota Kinabalu hampir setiap minggu demi menghadiri kelas hujung minggu di UMS.

“Cabaran utama saya ialah masa. Saya seorang guru dan pada masa yang sama
saya menyambung pengajian, ada minggu tertentu saya terpaksa terbang ke Kota
Kinabalu dua hingga tiga kali sebulan,” katanya .

Beliau bekerjasama dengan pihak pentadbir sekolah untuk menyelaraskan jadual dan
tugasan agar beliau dapat meninggalkan sekolah lebih awal bagi mengejar
penerbangan ke Kota Kinabalu.

Namun di sebalik pengorbanan itu, terdapat satu sumber kekuatan yang tidak
pernah pudar iaitu ibu beliau, dan sambil menahan sebak, Erni menyifatkan wanita itu sebagai
inspirasi hidupnya.

“Apa sahaja yang saya lakukan adalah untuk ibu saya, ibu saya bukan orang senang
dan tidak berpendidikan tinggi tetapi beliau sentiasa berusaha untuk kami adik-
beradik.

“Ibu berkata biarlah dia kekurangan, asalkan kami adik beradik berjaya,” ujarnya
sambil menahan air mata.

Selain itu, anak murid Erni turut menjadi pendorong utama beliau. Setiap minggu
sebelum berangkat ke kelas di UMS beliau akan memohon maaf kepada muridnya
kerana terpaksa pulang awal untuk mengejar penerbangan. Namun reaksi muridnya
sering menyentuh hati.

“Mereka terkejut, teacher pun belajar macam kami?” katanya sambil tersenyum.

Bagi Erni, kecintaan terhadap ilmu membuatkan segala penat lelah tidak terasa dan
berasa teruja setiap kali menghadiri kelas.

Dalam perjalanan kerjayanya, Erni pernah menerima beberapa pengiktirafan
termasuk Tokoh Anti Dadah peringkat kebangsaan. Namun bagi beliau, pencapaian
terbesar adalah menjadi guru yang lebih baik setiap hari.

Selepas menamatkan sarjananya, Erni kini merancang untuk menyambung pengajian
ke peringkat doktor falsafah di UMS, institusi yang dekat di hatinya.

“Saya bukan saja jatuh cinta dengan bidang ilmu, tapi dengan pensyarah dan
komuniti UMS sendiri. Walaupun kami pelajar separuh masa, hubungan kami rapat
seperti keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN