MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang menghidap penyakit sumsum tulang atau fanconi anemia with bone marrow failure berpeluang menunaikan impiannya menaiki beca berhias di Banda Hilir di sini.
Penyakit genetik jarang berlaku itu menyebabkan sumsum tulang gagal berfungsi untuk menghasilkan sel darah merah, putih dan platelet secara normal, sekali gus menjejaskan imun badan serta menyebabkan komplikasi pada buah pinggang dan organ dalaman lain.
Muhamad Affan Muhamad Haieri anak kepada pasangan Muhamad Haieri Nizam Saari dan Nursyela Madzlan, kedua-duanya berusia 32 tahun dari Pulau Sebang disahkan menghidap penyakit sama seperti abangnya, Muhamad Adam Naufal, 6, yang meninggal dunia pada Jun lalu.
Bapanya berkata, Muhamad Affan kini menjalani rawatan di Hospital Melaka termasuk menerima pemindahan darah secara berkala, namun keadaannya bergantung sepenuhnya kepada antibodi badan.
“Doktor dah cakap penyakit dia sama macam abangnya, tak ada ubat yang boleh sembuhkan, semua bergantung pada antibodi badan dia.
“Saya hanya mampu jaga dia sebaik mungkin dan bersedia kalau tuhan dah tetapkan sampai di situ saja hayat dia,” katanya ketika ditemui pada program khas menaiki beca berhias anjuran Persatuan Impian Kanak-kanak di Banda Hilir, kelmarin.
Muhamad Affan berkata, detik melihat anaknya tersenyum menaiki beca berhias penuh warna-warni menjadi kenangan paling berharga buat keluarga mereka.
Program berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Impian Kanak-kanak dengan kerjasama Persatuan Beca Melaka dan beberapa entiti perniagaan bagi menunaikan impian kanak-kanak yang menghidap penyakit terminal di seluruh negara.
Naib Presiden Persatuan Impian Kanak-kanak, Teoh Teik Hoong berkata, sejak 18 tahun lalu, persatuan itu berjaya menunaikan impian hampir 2,000 kanak-kanak berusia bawah 18 tahun termasuk di Sabah dan Sarawak. – UTUSAN










